Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai sesi perbincangan strategik bersama Boustead Plantations Berhad pada 1 Jun 2026 bagi meneroka potensi pembangunan Local Herbs Innovation Center yang berperanan memperkukuh ekosistem inovasi herba tempatan secara lebih holistik, mampan dan berimpak tinggi.
Sesi perbincangan ini telah diketuai serta dibentangkan oleh Dr. Ahmad Haniff bin Jaafar, dan turut disertai oleh wakil dari Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM. Dalam sesi ini, PSP hadir sebagai pemudah cara strategik dengan memperkenalkan fungsi PSP dalam pengurusan pengkomersialan inovasi, di samping mengetengahkan teknologi, kepakaran penyelidik serta harta intelek (IP) UPM yang berpotensi untuk diterokai dan dimanfaatkan oleh pihak industri.
Antara fokus utama yang dibincangkan adalah pembangunan rantaian nilai herba tempatan yang berpotensi dikomersialkan, dengan penekanan kepada ulam raja sebagai tanaman utama, diikuti dengan halia, kelulut serta pandan yang mempunyai nilai tambah tinggi dalam industri agroteknologi, kesihatan dan produk berasaskan bio-sumber.
Inisiatif ini diharap menjadi pemangkin kepada kerjasama universiti–industri yang lebih dinamik, seterusnya memperluas potensi pengkomersialan teknologi UPM ke peringkat nasional dan global.

Date of Input: 01/07/2026 | Updated: 01/07/2026 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia