Paten / UI | PUTRA SCIENCE PARK
» PENYELIDIK » PERLINDUNGAN HARTA INTELEK » Paten / UI

Paten / UI

Paten
Paten adalah satu hak eksklusif yang dianugerahkan oleh pihak kerajaan untuk suatu rekacipta baru sama ada ia adalah satu produk atau satu proses. Perlindungan Paten adalah selama 20 tahun dari tarikh pemfailan
Paten akan dianugerahkan apabila ia menepati ciri-ciri berikut:

- Baru (Novelti)
- Melibatkan langkah merekacipta
- Boleh digunakan dalam mana-mana industri.


Perbaharuan Utiliti  (UI)
Perbaharuan utiliti adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu rekacipta kecil yang tidak memerlukan ujian langkah merekacipta sebagaimana yang diperlukan untuk mendapat paten.
Perbaharuan utiliti dilindungi selama 10 tahun dari tarikh pemfailan dan boleh dilanjutkan ke 5+5 tahun lagi tertakluk kepada penggunaan.

Pemohon
Semua pihak boleh mengemukakan permohonan paten ataupun perbaharuan utiliti sama ada secara individu atau secara pemunyaan bersama atau syarikat/organisasi.
Pemohon tempatan atau residen di Malaysia boleh memfailkan permohonan paten sendiri atau melantik ejen paten berdaftar yang boleh mewakilinya. Pemohon dari luar negara yang ingin memfailkan permohonan patennya perlulah melantik ejen paten berdaftar di Malaysia untuk mewakilinya

Kepentingan perlindungan rekacipta
Perlindungan paten atau perbaharuan utiliti memberi hak eksklusif kepada pemunya untuk membuat, mengguna atau menjual rekaciptanya di Malaysia. Pemunya paten boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak lain yang melanggar haknya tanpa kebenaran pemunya paten.

Kriteria paten
Bagi pemberian paten, suatu rekacipta mestilah :
- Baru, iaitu rekacipta itu masih belum dizahirkan kepada orang awam di mana-mana di dunia;
- Melibatkan langkah merekacipta yang mana rekacipta itu tidak ketara kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan
dan kemahiran dalam bidang teknologi tersebut; dan
- Dapat digunakan dalam mana-mana industri.

Rekacipta yang tidak boleh dipatenkan
- Penemuan, teori-teori saintifik dan kaedah-kaedah matematik;
- Varieti tumbuhan atau binatang atau proses yang ada pada dasarnya adalah proses biologi bagi pengeluaran tumbuhan atau binatang, selain daripada mikro organisma hidup buatan manusia, proses mikrobiologi dan keluaran-keluaran proses mikro-organisma itu;
- Skim, aturan atau kaedah bagi menjalankan perniagaan, melakukan perbuatan-perbuatan mental semata-mata atau bermain apa-apa permainan;
- Kaedah-kaedah merawat tubuh manusia atau binatang melalui pembedahan atau terapi, dan kaedah-kaedah diagnosis yang dilakukan kepada tubuh manusia atau binatang.

Tempoh perlindungan
Paten dilindungi selama 20 tahun daripada tarikh pemfailan tertakluk kepada pembayaran fi tahunan. Manakala perbaharuan utiliti dilindungi selama 10 tahun dari tarikh pemfailan dan boleh dilanjutkan selama 5 + 5 tahun tertakluk kepada penggunaannya.


Kemaskini:: 27/09/2016

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691254
03-89464121
B1566363901