Kit Pengesanan Penyakit Hepatitis B Bantu Kesan Penyakit Hepatitis B Dengan Lebih Mudah Dan Cepat. | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Kit Pengesanan Penyakit Hepatitis B bantu kesan penyakit Hepatitis B dengan lebih mudah dan cepat.

Kit Pengesanan Penyakit Hepatitis B bantu kesan penyakit Hepatitis B dengan lebih mudah dan cepat.

Kit Pengesanan Penyakit Hepatitis B bantu kesan penyakit Hepatitis B dengan lebih mudah dan cepat.    

Penyakit Hepatitis B merupakan keradangan pada hati disebabkan oleh virus Hepatitis B (HBV) yang akan mengakibatkan kerosakan sel-sel hati dan mempunyai hubungkait yang rapat dengan barah hati.

Virus Hepatitis B (HBV) telah menjangkiti satu pertiga daripada penduduk dunia. Sehingga kini, kira-kira 350 juta orang dijangkiti secara kronik oleh HBV, yang meletakkan mereka pada risiko berterusan masalah kesihatan hati, termasuk sirosis hati dan kanser hati. 

Penyakit Hepatitis B ini boleh merebak dengan mudah antaranya melalui perkongsian jarum suntikan, perkongsian barangan peribadi, serta luka yang terdedah sehingga mengakibatkan jangkitan virus.  

Lebih membimbangkan, 90% daripada pembawa kronik ini tidak menyedari keadaan kesihatan hati mereka, yang menyumbang dengan ketara kepada kematian berjuta-juta yang dilaporkan setiap tahun disebabkan oleh hepatitis B dan pesakit sering enggan melawat makmal diagnostik atau hospital untuk pemeriksaan kerana proses yang membosankan dan caj mahal. 

Sebahagian mereka yang dijangkiti hepatitis B akan mengidap jangkitan kronik yang boleh membawa kepada komplikasi seperti kegagalan fungsi hati, sirosis hati dan kanser hati yang boleh menjadi punca kematian.

Sebagai salah satu usaha mengesan penyakit ini dengan lebih cepat, Ketua Penyelidik UPM, Prof. Dr. Tan Wen Siang dari fakulti Bioteknologi dan Biomolekuler Sains membangunkan teknologi peranti mudah alih yang mampu mengesan antibodi anti-HBV pada pesakit yang dijangkiti sekali gus memberikan hasil yang lebih pantas berbanding kaedah pengesanan secara konvensional. 

Dengan jalur 2-dalam-1 mudah alih ini, pegawai kesihatan dapat mengenal pasti sejumlah besar individu yang menghidapi penyakit ini dengan lebih cepat dan mudah seterusnya menghubungkan pesakit dengan penjagaan kesihatan dan mewujudkan rawatan antivirus awal agar dapat menangani masalah ini di peringkat awal.  

Teknologi ini membolehkan pegawai kesihatan untuk menjalankan diagnosis hepatitis B kepada pesakit dengan mudah, cepat dan pada kos yang jauh lebih rendah. Teknologi yang dibangunkan ini ternyata memberi manfaat bukan hanya kepada pegawai kesihatan tetapi juga masyarakat awam.

Kit pengesanan penyakit Hepatitis B ini menyasarkan penggunaan yang meluas di dalam industri kesihatan dan farmasi. Kit pengesanan diagnosis penyakit Hepatitis B ini juga dapat menyumbang kepada peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang bahaya penyakit ini sekali gus dapat mengelakkan diri mereka dari dijangkiti.

Masyarakat adalah disaran agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi alat kebersihan diri peribadi seperti ketip kuku, pisau cukur dan berus gigi dengan orang lain bagi mengelakkan berlakunya jangkitan virus Hepatitis B (HBV).

 

Penyelidik

Prof. Dr. Tan Wen Siang 

Faculti Bioteknologi dan Biomolekul Sains

wstan@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 21/09/2022 | Kemaskini: 23/09/2022 | aishah

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEbLAV~