Animasi Video Lagu Bahasa Sepanyol Yang Pertama Di Malaysia | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Animasi Video Lagu Bahasa Sepanyol yang Pertama Di Malaysia

Animasi Video Lagu Bahasa Sepanyol yang Pertama Di Malaysia

Pembelajaran Interaktif Bahasa Sepanyol Melalui Aplikasi Blog Dalam Talian

 

Produk yang dicipta ini mengandungi lima lagu dalam bahasa Sepanyol beserta lima animasi yang dihasilkan 100% oleh rakyat Malaysia. Lima lagu yang dicipta ini berteraskan tajuk-tajuk yang dipelajari oleh pelajar pada tahap asas. Produk yang dihasilkan ini bukan bertujuan untuk menyaingi lagu-lagu yang dihasilkan oleh penutur asli bahasa Sepanyol. Tetapi produk ini memberi pilihan kepada pelajar untuk dijadikan bahan rujukan kerana bahan-bahan pengajaran yang diimport dari luar negara sangat mahal harganya. Lagu-lagu yang dicipta berkaitan dengan tajuk Keluarga Saya, Kata Adjektif, Warna, Nombor dan Konjugasi Kata Kerja. Pemilihan lirik dalam lagu ini dicipta khusus bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran bahasa Sepanyol.

 

 

KEPERLUAN TEKNOLOGI

 

Bahan-bahan yang diimport dari negara Sepanyol sangat mahal harganya hingga boleh mencecah ratusan ringgit. Keadaan ini dilihat sebagai satu kekangan kepada pelajar untuk mendapatkan bahan rujukan. Oleh yang demikian penyelidik merasakan sudah tiba masanya pensyarah tempatan yang mengajar bahasa Sepanyol menghasilkan sesuatu untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Sepanyol. Berdasarkan pengalaman penyelidik hampir 15 tahun mengajar bahasa Sepanyol, produk ini dibangunkan bertujuan membantu pelajar untuk mempelajari bahasa Sepanyol. Hal ini kerana pembelajaran menggunakan audio visual dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran mendengar, menyebut dan menulis dalam bahasa Sepanyol. Penawaran bahasa Sepanyol di Malaysia semakin berkembang dengan beberapa universiti awam dan swasta menawarkan bahasa ini di universiti mereka seperti di UM sebagai kursus major, UKM, UPNM, UPSI, USM, UUM, UTHM, UMP, UMT, Universiti Multimedia dan sebagainya. Oleh yang demikian penyelidik yakin bahawa produk yang dibangunkan ini boleh disasarkan kepada pelajar atau orang awam yang hendak mempelajari bahasa Sepanyol.

 

KELEBIHAN PRODUK

Produk ini mampu menyaingi produk dari luar negara kerana dari segi kos, produk ini menawarkan harga yang sangat berpatutan kerana produk ini menjadi produk pertama dihasilkan oleh rakyat tempatan di Malaysia. Oleh yang demikian adalah menjadi satu kebanggaan kepada penyelidik kerana dapat membuktikan bahawa anak tempatan juga berkebolehan menghasilkan sesuatu di peringkat antarabangsa.

 

MANFAAT KEPADA MASYARAKAT

Teknologi ini sangat bermanfaat kepada masyarakat kerana sumbangan penyelidik dalam membangunkan produk ini dilihat sebagai satu sumbangan besar kepada negara kerana kita tidak lagi perlu mengimport bahan pengajaran yang jauh lebih mahal, terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Teknologi ini telah mendapat perlindungan hakcipta dari Universiti Putra Malaysia. Dan menyasarkan pengguna seperti Pelajar sekolah, universiti atau orang awam yang berminat mempelajari bahasa Sepanyol.

 

PEREKACIPTA

Dr. Salina Husain merupakan seorang pensyarah kanan di Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Beliau telah mengajar bahasa Sepanyol hampir 15 tahun di beberapa universiti termasuk UPM. Bidang kepakaran beliau ialah Bahasa Sepanyol dan Kajian Bandingan iaitu satu bidang dalam kajian linguistik. Penyelidik juga merupakan pensyarah pertama bahasa Sepanyol yang memperoleh PhD di Malaysia.

 

oleh Asrizam bin Esam

 

Tarikh Input: 16/08/2017 | Kemaskini: 16/01/2018 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691254
03-89464121
B1566364279