Pelaksanaan EKSA di Putra Science Park & Pejabat TNCPI UPM
Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang diperkenalkan sejak Januari 2014 adalah penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam, sebagai salah satu langkah strategik dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan. Penjenamaan ini bukan sekadar perubahan nama, tetapi turut membawa pembaharuan yang selaras dengan keperluan semasa, menekankan prestasi tinggi, daya saing organisasi, serta menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif dalam sektor awam.
Sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah kecemerlangan persekitaran kerja, Putra Science Park (PSP) bersama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM melaksanakan EKSA dengan berlandaskan Amalan 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam, dan Sentiasa Amal), diperkukuhkan dengan lima elemen utama:
✅ Imej Korporat – Mencerminkan profesionalisme dan identiti organisasi. ✅Kreativiti & Inovasi – Menggalakkan idea baharu dalam meningkatkan keberkesanan kerja. ✅ Amalan Hijau – Memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar. ✅ Persekitaran Kondusif – Mewujudkan ruang kerja yang lebih selesa dan produktif. ✅Kepelbagaian Agensi – Memastikan fleksibiliti dan keterangkuman dalam pelaksanaan EKSA.
Melalui inisiatif ini, PSP dan Pejabat TNCPI UPM komited dalam membentuk persekitaran kerja yang lebih efisien, sistematik, dan inovatif, seiring dengan aspirasi UPM sebagai universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa.