Aplikasi Kesihatan My Nutri Kidney® | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Aplikasi Kesihatan My Nutri Kidney®

Aplikasi Kesihatan My Nutri Kidney®

Usahasama dua institut pengajian tinggi Malaysia, UPM dan UNITEN melancarkan sistem My Nutri Kidney® menerusi format aplikasi program antaramuka (API) membantu agensi kesihatan dan pesakit ginjal kronik bagi membantu mempermudahkan pesakit menguruskan aspek pemakanan.

Inisiatif ini dilaksanakan untuk menangani isu penyakit ginjal kronik di Malaysia yang mencatatkan kes sebanyak lebih 9% penduduk dewasa menghidap penyakit ginjal tahap 1 hingga 5 disebabkan faktor diabetes, tekanan darah tinggi dan peningkatan umur.

Pesakit ginjal kronik memerlukan kawalan penjagaan pemakanan yang teliti bagi memastikan sumber nutrien yang diambil adalah lengkap dan mencukupi berdasarkan tahap kesihatan seseorang bagi memastikan tekanan darah tinggi, kolestrol, konsentrasi bahan kumuh, dan kadar kebocoran protein dalam air kencing dapat dikurangkan.

Penjagaan makanan bagi pesakit ginjal kronik terbukti mampu mengelakkan kerosakan ginjal yang berterusan sekaligus pesakit tidak perlu menjalani rawatan dialisis atau transplan ginjal dan menjimatkan perbelanjaan kewangan untuk rawatan.

Sepasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zulfitri ‘Azuan Mat Daud dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, dengan kerjasama penyelidik UNITEN telah berjaya membangunkan aplikasi kesihatan mudah alih My Nutri Kidney® di mana pesakit boleh mengakses melalui penggunaan telefon pintar dan mengemaskini maklumat kesihatan dan latar belakang mereka pada bila-bila masa.

Berpandukan kepintaran Health Belief Model, aplikasi ini mengumpul data maklumat pesakit bagi memastikan saranan pemakanan yang diberikan adalah bersesuaian dengan keadaan ginjal pesakit.

Sistem ini dapat menggantikan kaedah tradisional di mana buku resepi yang tebal berasaskan pesakit ginjal kronik diterbitkan sebagai panduan kepada pesakit dalam penjagaan pemakanan.

Sistem ini dibangunkan dengan kaedah teknologi yang canggih dan mesra pengguna kerana resepi yang terkandung di dalam sistem ini berasaskan makanan ruji yang dinikmati oleh masyarakat setempat. Justeru, pesakit mempunyai pilihan yang banyak untuk dipilih dengan mudah.

Melalui sistem ini, pesakit, penjaga dan doktor yang merawat mempunyai akses untuk menyemak kandungan nutrien yang diambil sekali gus menggalakkan amalan pemakanan yang seimbang dan sihat kepada masyarakat.

Tarikh Input: 23/02/2022 | Kemaskini: 23/02/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEUFAr~