Bekas Makanan Biodegradasi Berasaskan Sabut Kelapa | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Bekas Makanan Biodegradasi Berasaskan Sabut Kelapa

Bekas Makanan Biodegradasi Berasaskan Sabut Kelapa

 

Bekas makanan merupakan perkara penting bagi pengusaha makanan. Kini, rata-rata masyarakat sudah cakna dalam pemilihan bekas makanan yang mesra alam selari dengan dasar kerajaan untuk mengurangkan penggunaan plastik di pasaran.

Selari dengan usaha ke arah masa depan yang lebih hijau dan selamat, sepasukan penyelidik dari Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) diketuai oleh, Prof. Madya Dr. Siti Salwa Abd Gani berkata, UPM mengambil inisiatif dengan menghasilkan inovasi bekas makanan mesra alam yang menawarkan pelbagai kelebihan seperti mudah dileraikan, murah dan efektif.

Pembungkusan bekas makanan yang menggabungkan konsep biodegradasi berasaskan sabut kelapa menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar dan digunakan sebagai alternatif bagi menggantikan penggunaan plastik, polisterin dan sebagainya.

Selaras dengan ketetapan Barisan Jemaah Menteri Malaysia pada tahun 2018 telah membangunkan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna menjadikan inisiatif yang diambil oleh penyelidik UPM sebagai langkah proaktif yang mendukung cita-cita ini dengan berkongsi kepakaran menghasilkan inovasi bekas makanan sabut kelapa.

Melalui garis panduan yang dikeluarkan oleh Pelan Tindakan Serantau ASEAN 2021-2025, 188 negara anggota ASEAN amat menitikberatkan kawalan pergerakan sisa plastik termasuk mengambil langkah proaktif dengan menyenaraikan jenis penggunaan sisa plastik yang berbahaya dan fokus diberikan kepada keperluan pengurusan pelupusan sisa plastik secara mampan.

Bekas makanan menggunakan plastik menyumbang kepada isu global kerana jangka hayat yang diambil begitu lama untuk dilupuskan sehingga menjangkau tempoh 10 hingga 50 tahun untuk proses pereputan tambahan pula, penggunaannya dalam kuantiti yang banyak telah mengakibatkan isu pemanasan global dan pengumpulan gas rumah hijau.

Penggunaan plastik yang berterusan juga mengancam keseimbangan ekosistem negara apabila, pemikiran masyarakat yang sewenang-wenangnya membuang plastik sampah merata-rata sehingga menyebabkan berlakunya kepupusan haiwan akuatik kerana menganggap plastik yang terdampar di lautan adalah bahan makanan hidupan laut.

Melalui inovasi sabut kelapa, bekas makanan tidak lagi menjadi faktor yang menyumbang kepada pencemaran alam untuk jangka masa yang panjang sekali gus meningkatkan usaha negara untuk memulihara ekosistem kehidupan.

Ekonomi Malaysia mencatatkan industri berasaskan pokok kelapa merupakan industri keempat terbesar dan terpenting di negara kita, oleh itu sisa tanaman sabut kelapa adalah murah dan mudah didapati menjadikannya bahan asas yang baik untuk menghasilkan inovasi hijau.

Selain mudah didapati dan harga yang murah, teknologi ini juga menawarkan daya ketahanan yang tinggi untuk menampung berat makanan sehingga mencapai 1 kilogram.

Menurut Dr. Siti Salwa, inovasi ini menawarkan pelbagai faedah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan sisa tanaman.

 

Penyelidik

Prof Madya Dr. Siti Salwa Abd Gani
Fakulti Pertanian 

ssalwaag@upm.edu.my 

 

 

Tarikh Input: 23/02/2022 | Kemaskini: 17/05/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDcWAd~