Kerajaan disarankan untuk mengkaji semula dasar pembangunan sedia ada, terutamanya dari segi jarak minimum antara kawasan perumahan dengan infrastruktur berisiko tinggi seperti paip gas dan loji utiliti. Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Siswazah, Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Zairul Mohd Noor, penilaian impak risiko perlu dijadikan komponen wajib dalam proses kelulusan pelan pembangunan. Beliau menyatakan bahawa tragedi letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini adalah amaran jelas bahawa keselamatan tidak boleh dipisahkan daripada proses pembangunan.
Dr. Mohd Zairul menegaskan bahawa pembangunan perumahan tidak boleh hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Sebaliknya, nilai keselamatan dan ketelusan perlu menjadi keutamaan. Jika kawasan kediaman dibina terlalu hampir dengan kemudahan berisiko tinggi, risiko terhadap keselamatan penduduk akan meningkat dengan ketara. Oleh itu, perancangan yang teliti seperti penetapan zon penampan dan pemasangan sistem pengesanan kebocoran perlu dilaksanakan.
Beliau turut memberi contoh insiden letupan paip gas di luar negara seperti di Singapura (1992), Thailand (2020) dan Taiwan (2014), yang menyebabkan kematian dan kecederaan ramai. Ini menunjukkan bahawa infrastruktur utiliti yang tidak dirancang dengan baik boleh membawa kesan besar kepada masyarakat dan pasaran hartanah.
Insiden sebegini juga boleh menjejaskan keyakinan pembeli rumah dan pelabur hartanah, walaupun puncanya adalah faktor luar jangka. Ia memberi tekanan kepada pemilik hartanah di kawasan terjejas kerana kebimbangan terhadap keselamatan fizikal rumah yang kini menjadi faktor utama dalam keputusan membeli rumah.
Akhir sekali, beliau menyeru agar kerajaan, pemaju dan pihak berkuasa tempatan menyusun semula strategi pembangunan perumahan negara dengan pendekatan menyeluruh yang mampu melahirkan bandar yang selamat, mampan dan mesra penghuni.
Tarikh Input: 10/04/2025 | Kemaskini: 10/04/2025 | faizfarhan

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia