Pencincang Kulit Durian Untuk Pengkomposan Sisa Bio | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Pencincang Kulit Durian Untuk Pengkomposan Sisa Bio

Pencincang Kulit Durian Untuk Pengkomposan Sisa Bio

Buah durian (Durio zibethinus) adalah antara buah tempatan popular di Malaysia, juga dikenali sebagai Raja Buah. Buah durian berbentuk bulat hingga lonjong bergantung kepada varieti.

Kulit durian yang berduri tajam dan berwarna hijau hingga hijau keperangan. Buah durian berpangsa-pangsa dimana ulas durian berada di dalam pangsa ini. Kulit durian akan dibuang selepas ulas durian dimakan. Lambakan kulit durian menjadi sampah menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar.

Kulit durian mengambil masa yang lama untuk terlerai. Pembuangan haram kulit durian akan didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 627) yang boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Apabila tiba musim durian, kulit-kulit durian dibuang begitu sahaja di tempat longgokan sampah atau dibuang secara haram. Ini mengakibatkan berlakunya longgokan kulit durian yang akan mengeluarkan bau yang busuk, tempat pembiakan nyamuk dan tikus serta mengundang lalat. Ia akan menyebabkan pencemaran alam sekitar serta boleh mengundang penyakit kepada penduduk setempat. Pangsa kulit durian ada pelbagai saiz bergantung kepada varieti buah durian.

Saiz yang pelbagai ini menyebabkan ia mengambil ruang yang besar di dalam tong sampah atau tempat pembuangan sampah. Malah kulit durian mengambil masa yang lama untuk terlerai disebabkan kandungan selulosanya yang tinggi. Semakin lama kulit durian terbiar, maka semakin liat kulit durian tersebut. maka makin sukar untuk diproses. Kulit durian yang berduri tajam terdiri daripada pelbagai saiz bergantung kepada varieti buah durian tersebut. Ada jenis kulit durian yang nipis, tebal malah bersaiz panjang dan ada berbentuk agak bulat atau lonjong.  

Maka kajian dilakukan untuk membangunkan sebuah mesin pencincang kulit durian berbilang bilah (M’SReD) bagi mengecilkan saiz kulit durian supaya dapat mengurangkan masalah yang dihadapi. Disamping itu, kulit durian yang bersaiz kecil mudah untuk dikomposkan, malah dikeringkan dan seterusnya boleh diproses kepada produk-produk lain yang tinggi nilainya.

Dengan adanya mesin ini juga, ia dapat membantu penanam, penjual dan pengusaha buah durian dalam pengurusan kulit durian. Kerja-kerja mengecilkan saiz kulit durian menjadi lebih mudah, menjimatkan tenaga, menjimatkan masa serta reka bentuk mesin yang mudah alih yang dapat dibawa ke tempat-tempat di mana operasi buah durian dilakukan.

 

Penyelidik 

Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin
Fakulti Kejuruteraan
rosnahs@upm.edu.my

Tarikh Input: 27/07/2022 | Kemaskini: 30/07/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXFWGAP~