Pertanian kini bukan sekadar hobi atau minat, malah telah menjadi trend dalam kalangan anak muda. Seiring dengan perkembangan ekonomi dan gaya hidup moden, ramai yang memilih untuk berkebun sendiri, dibantu teknologi pertanian.
Di peringkat antarabangsa, pertanian menjamin bekalan makanan, mengurangkan kebergantungan terhadap import, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Teknologi moden seperti Internet of Things (IoT), sistem pemantauan digital, dan kawalan perosak pintar semakin digunakan untuk meningkatkan produktiviti.
Muhammad Shafiq Saari, alumni Fakulti Pertanian UPM, berkongsi pengalamannya dalam bidang ini. Bermula dengan projek akhir pengajian, beliau kini mengadaptasi teknologi analisis data dan sistem pengurusan pintar dalam kawalan serangga perosak dan penyakit tanaman. Pendekatan ini telah diaplikasikan di kebun durian dan ladang cili miliknya, membuktikan kejayaan pertanian digital.
Menurutnya, cabaran utama industri pertanian ialah kurangnya pengurusan sistematik, termasuk jadual tanaman dan penuaian, yang boleh menyebabkan lambakan hasil di pasaran. Oleh itu, kalendar tanaman daerah bermusim perlu diwujudkan dengan bimbingan pakar pertanian.
Beliau juga menekankan kepentingan menghasilkan produk hiliran bagi meningkatkan nilai jualan. Contohnya, pemprosesan makanan dalam bentuk bungkusan kecil boleh menarik lebih ramai pengguna dan mengurangkan pembaziran hasil pertanian.
Akhirnya, lebih ramai anak muda disaran menceburi bidang pertanian bukan sahaja dalam aspek penanaman, tetapi juga pemasaran dan inovasi teknologi. Dengan pendekatan yang lebih moden dan tersusun, pertanian boleh menjadi sektor yang lebih berdaya maju dan mampan untuk masa depan negara.
Tarikh Input: 28/01/2025 | Kemaskini: 28/01/2025 | faizfarhan

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia