Serum Oleate Atasi Kesan Jeragat – Harian Metro | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Serum Oleate atasi kesan jeragat – Harian Metro

Serum Oleate atasi kesan jeragat – Harian Metro

Artikel disiarkan Harian Metro 2 Mac 2022

Kuala Lumpur: Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Sains dan Pusat Asasi Sains Pertanian serta Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul berjaya menghasilkan serum Oleate yang berkesan mengatasi kesan hiperpigmentasi dan jeragat.

Serum itu dibangunkan menggunakan teknologi nanoemulsi terhasil melalui kajian dan penyelidikan saintifik yang teliti selama 15 tahun oleh pakar UPM.

Ketua Penyelidik dari Fakulti Sains dan Pusat Asasi Sains Pertanian Dr Siti Efliza Ashari berkata, Oleate sebagai komponen utama dalam penghasilan serum ini adalah bahan pencerah yang terbukti berkesan sebagai anti-tyorisinase, anti-mikrob, anti-radang dan anti-oksidan.

"Serum ini dikomersialkan di bawah nama BioEsst Nanoemulsion Serum with Oleate menawarkan kelainan kepada pengguna berbanding produk kecantikan yang berada di pasaran dengan memfokuskan kepada kandungan bahan aktif yang terbukti selamat serta tidak meninggalkan kesan pedih di muka selepas penggunaannya.

"Serum kecantikan yang dirumus dengan 100 peratus bahan efektif Oleate terbukti berkesan untuk mengatasi isu jeragat, tompok gelap, parut jerawat, dan kulit kering," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Penyelidik dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Prof Dr Rosfarizan Mohamad berkata, serum itu menggabungkan beberapa bahan aktif seperti tween 80, minyak kastor, minyak lemon, gandum xantham, kalium sorbate dan kojic monooleate.

"Ia ternyata berkesan dalam mengurangkan penghasilan melanin berlebihan," katanya.

Dengan kepekatan kandungan kojic monooleate sebanyak 10 peratus, serum ini bertindak memudarkan parut jeragat dari dalam sekali gus menggalakkan pembentukan lapisan kulit baharu yang lebih sihat dan cerah serta memastikan kebersihan muka dapat dikekalkan di tahap optimum.

Sementara itu, Timbalan Pengarah, Bahagian Promosi dan Pengkomersialan Inovasi Putra Science Park, UPM Prof Madya Dr Wan Nurhayati Wan Ab Rahman berkata, pihaknya mengalu-alukan kolaborasi daripada rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan ke pasaran supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan.

Tarikh Input: 22/03/2022 | Kemaskini: 16/08/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDdHA4~