Serdang, 20 Januari 2025 – Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Perancangan Data Induk PSP 2025, yang berlangsung pada 20 Januari 2025. Bengkel ini bertujuan untuk memperkukuh strategi pengurusan data induk serta meningkatkan kecekapan operasi di PSP.
Bengkel yang diadakan di PSP UPM ini telah menghimpunkan seramai 20 pegawai daripada pelbagai seksyen, termasuk Seksian Pentadbiran, Seksyen Pemindahan Teknologi, Seksyen InnoHub, serta Seksyen Promosi dan Pengurusan Harta Intelek. Kesemua peserta telah terlibat secara aktif dalam sesi perbincangan dan perancangan bagi memastikan sistem pengurusan data induk lebih tersusun dan efektif.
Bengkel ini telah dipengerusikan oleh Ts. Dr. Saiful Hasley Ramli, Timbalan Pengarah Seksyen Promosi dan Pengurusan Harta Intelek, PSP UPM. Dalam ucapan pembukaannya, beliau menekankan kepentingan perancangan data induk dalam meningkatkan keberkesanan pengurusan maklumat, sekaligus memperkukuh peranan PSP dalam menyokong aktiviti inovasi dan pemindahan teknologi di UPM.
Sepanjang sesi bengkel, para peserta telah membincangkan pelbagai aspek termasuk penambahbaikan sistem penyimpanan data, integrasi maklumat antara seksyen, serta strategi pemantauan dan penilaian keberkesanan pengurusan data induk. Sesi ini juga turut memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan dan cadangan bagi memastikan sistem data induk PSP terus relevan dan berdaya saing.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen PSP dalam memperkukuh pengurusan data serta memastikan kelancaran operasi organisasi dalam menyokong agenda inovasi dan pengkomersialan teknologi di UPM. Dengan hasil perbincangan yang produktif, PSP optimis bahawa langkah-langkah yang dirancang akan membantu meningkatkan kecekapan pengurusan data serta menyokong pertumbuhan ekosistem inovasi universiti.
Tarikh Input: 21/01/2025 | Kemaskini: 21/01/2025 | faizfarhan

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia