FITRAH Box- Bantu Cegah Jenayah Melalui Pengesanan Awal | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » FITRAH Box- bantu cegah jenayah melalui pengesanan awal

FITRAH Box- bantu cegah jenayah melalui pengesanan awal

 

CHERAS, 21 Nov - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan teknologi FITRAH Box: Future Policing System untuk membantu pencegahan kes jenayah secara pengesanan awal melalui perakam Video Digital Generasi Akan Datang (DVR) yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan bagi mengatasi masalah jenayah.

 FITRAH Box menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan berfungsi mencegah perilaku daripada melakukan jenayah serta dilengkapi dengan teknologi pengecaman manusia, pengecaman aktiviti jenayah dan teknologi penghasilan strategi untuk mengakali pelaku.

 Ketua penyelidik, Dr. Azree Nazri dari Jabatan Sains Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) berkata, ‘FITRAH Box’ bertindak untuk menghalang individu daripada melakukan jenayah dengan memberikan pengawasan selama 24jam/7hari dengan cara CCTV disambungkan ke FITRAH box untuk memantau kawasan rumah atau premis.

 “Imej daripada CCTV akan dianalisis dalam masa sebenar (real-time) untuk mengenal pasti jenayah serta maklumat dan amaran akan dihantar kepada pemilik rumah atau premis dua minit lebih awal melalui aplikasi WhatApps atau Telegram bagi mengelakkan jenayah berlaku,” katanya.

 Beliau berkata, teknologi itu dibangunkan kerana kekurangan teknologi dan produk tempatan yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan pasaran negara.

 “Kebanyakan teknologi kecerdasan buatan berteknologi tinggi adalah daripada Amerika Syarikat dan China yang boleh menimbulkan isu keselamatan yang jarang diberi perhatian. Kebanyakan syarikat di Malaysia menggunakan teknologi kecerdasan buatan tanpa memikirkan kesannya contohnya sistem pengecaman wajah di luar negara sudah dimasukkan beberapa wajah ejen-ejen dari negara tersebut tanpa diketahui,” katanya.

 Katanya, kelebihan FITRAH Box ialah ia dapat membezakan aktiviti jenayah tanpa bantuan manusia serta dapat membuat keputusan dan tindakannya sendiri untuk menghalang pelaku daripada melakukan jenayah tanpa bantuan manusia.

 “Selain kosnya yang murah, FITRAH Box juga pantas mengesan aktiviti jenayah dan bertindak untuk mengawal jenayah serta menghalang pelaku daripada terus melakukan jenayah,”katanya.

 Teknologi yang dibangunkan sejak 2016 itu disasarkan kepada pengguna yang memerlukan sistem pemantauan berterusan seperti pengusaha domestik, peruncit serta perniagaan kecil dan sederhana.

 Teknologi FITRAH Box telah sedia untuk dikomersialkan. Ia telah digunakan di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras bagi uji cuba sepenuhnya. - UPM

Tarikh Input: 17/12/2018 | Kemaskini: 17/12/2018 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691254
03-89464121
B1566450477