InnoHub UPM Berjaya Lahir Lebih 50 Techpreneur | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » InnoHub UPM berjaya lahir lebih 50 Techpreneur

InnoHub UPM berjaya lahir lebih 50 Techpreneur

SERDANG, 17 Julai -  Penubuhan Hab Validasi Pasaran atau InnoHub pada akhir 2013 oleh Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya melahirkan lebih 50 orang techpreneur iaitu usahawan teknologi yang mampu menerajui perniagaan.

  

Terbaru, 10 buah syarikat berjaya bergraduat apabila para techprenuer atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat terbabit memenuhi kriteria aktiviti validasi pasaran 100 peratus  dan memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk syarikat pemula (start-up) terus berdaya maju melalui model perniagaan yang mantap.

Program Innohub merupakan inisiatif  PSP UPM di dalam menggiatkan lagi aktiviti pengkomersilan hasil teknologi UPM yang telah mendapat perlindungan harta intelek. 

Pada peringkat permulaan, kesemua syarikat ini beroperasi di bangunan Pejabat Putra Science Park UPM sebagai tapak permulaan bagi menjalankan perniagaan masing-masing. 
Kini 10 syarikat ini sudah mampu memiliki pejabat yang lebih bersesuaian dengan saiz syarikat yang semakin berkembang di luar UPM.

Menteri Pembangunan Usahawan, YB Mohd Redzuan Md. Yusof menyampaikan sijil kepada pegawai dan usahawan 10 syarikat itu pada Majlis Showcase Inovasi InnoHub UPM di sini.

Ketika berucap merasmikan majlis itu, Mohd Redzuan berkata, kementerian akan menyokong program InnoHub UPM dan memberi bantuan dalam pelbagai aspek untuk memastikan lebih ramai usahawan tekno dapat dilahirkan ke arah memacu ekonomi negara.

 

Katanya, ia kerana syarikat-syarikat start-up memerlukan lebih banyak sokongan dan bantuan untuk mengembangkan bisnes mereka ke peringkat global.

 

Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan penganugerahan graduasi 10 teknologi UPM di bawah program InnoHub itu, katanya, beliau percaya kejayaan itu dicapai berfaktorkan kerjasama dalam suasana budaya kerja yang dinamik antara ahli akademik dan penyelidik dengan usahawan tekno.

 

Beliau berharap usahawan tekno dan penyelidik UPM terus komited dan bersemangat tinggi dalam membawa inovasi daripada prototaip berskala makmal kepada produk yang mempunyai nilai pasaran.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris pula berkata, InnoHub ada hub persediaan persekitaran ekosistem yang memantapkan kerjasama antara pihak akademia dan industri termasuk pelabur.

 

Katanya, ia ditubuhkan bertujuan menjalankan validasi pasaran bagi teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar dapat dibuktikan ianya adalah inovasi yang dapat menyelesaikan masalah sasaran pengguna dan pembeli. - UPM

Tarikh Input: 03/10/2018 | Kemaskini: 03/10/2018 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691254
03-89464121
B1566450176