Inovasi Hybrid AgriVoltaic System (HAVs) Di UPM | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Inovasi Hybrid AgriVoltaic System (HAVs) di UPM

Inovasi Hybrid AgriVoltaic System (HAVs) di UPM

SERDANG, 22 Mac - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), berjaya membangunkan rak yang membolehkan aktiviti pertanian dan pengeringan hasil tuaian dijalankan di rak yang diletakkan di bawah struktur Photovoltaics (PV) di ladang-ladang Solar PV.

 

Alat penanaman yang dipanggil ‘A Retractable Drying and Planting Rack for AgroPhotovoltaics Farm’ itu diperbuat daripada keluli tahan karat (stainless steel) dan mempunyai dua rak, dengan rak bahagian bawah untuk penanaman manakala rak atas untuk pengeringan hasil tuaian.

 

Bagi memastikan tiada gangguan terhadap penghasilan tenaga elektrik (DC) oleh penjana PV, hanya tanaman yang sesuai seperti Misai Kucing dan Hempedu Bumi digunakan untuk tujuan pertanian.

 

Melalui inovasi ini, petani hanya perlu menyusun polibeg tanaman di atas rak bawah dan kemudian menyorong alat yang mempunyai roda itu ke bawah solar PV, tanpa perlu untuk petani masuk ke bawah struktur solar PV.

 

Bagi tujuan penuaian pula, petani hanya perlu menarik alat ini keluar untuk menjalankan proses tuaian. Hasil tuaian akan diletakkan di rak atas dan disorong kembali ke bawah solar PV untuk proses pelayuan dan pengeringan.

 

Ketua kumpulan penyelidik itu, Ir. Dr. Mohammad Effendy Ya’acob dari Fakulti Kejuruteraan UPM, berkata proses in-situ withering/drying itu menggunakan haba terbebas (dissipated heat energy) dari bahagian permukaan bawah panel PV. Hasil tuaian yang telah kering akan dibawa ke kilang untuk proses menjadikannya seperti teh dan pembungkusan untuk jualan.