Inovasi Manik Pintar Singkir Logam Berat AIr Minuman | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Inovasi Manik Pintar Singkir Logam Berat AIr Minuman

Inovasi Manik Pintar Singkir Logam Berat AIr Minuman

SERDANG, 14 Jun - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan inovasi  yang berupaya menyingkirkan logam berat atau kuprum dalam air paip bagi mengelakkan kesan buruk terhadap kesihatan manusia akibat daripada ion kuprum yang berlebihan dalam air minuman semasa sesi Sidang Media Putracipta Smart Beads di Putra Science Park UPM pada 15 Mei 2019 yang lalu anjuran PSP.

Sistem penapisan air dwi-fungsi itu juga boleh memantau jumlah logam berat dalam air secara terus untuk mengesan pencemaran kimia atau ketoksikan dalam air.

Justeru melalui inovasi itu, masalah pengambilan kandungan kuprum berlebihan dalam tubuh badan manusia kini boleh diatasi sebagaimana piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan paras selamat kuprum (II) dalam air minuman ialah 1.3 ppm.

Penapis Air Luaran dengan MANIK PINTAR itu dibangunkan oleh penyelidik dan pensyarah Pensyarah Institut Tekonologi Maju (ITMA) UPM, Prof Madya Dr Janet Lim Hong Ngee bersama ahli kumpulannya, Dr. Izwaharyanie Ibrahim.

 Dr Janet berkata MANIK PINTAR tidak hanya berfungsi sebagai penapis tetapi juga sebagai elektrod fotosensor untuk mengesan kuantiti ion kuprum (II) dalam sampel sebenar.

“Ini adalah kali pertama, pembuktian konsep melibatkan aplikasi MANIK PINTAR sebagai platform penapis-fotosensor praktikal sistem penapisan air,” katanya.

 

Beliau berkata, kuprum merupakan unsur penting dalam alam sekitar dan tubuh manusia kerana ia membantu tubuh membentuk sel darah merah dan memelihara sel saraf serta sistem imun untuk sihat, namun ia tidak boleh digunakan atau diambil secara berlebihan.

Katanya, ion kuprum (II) yang berlebihan dalam air minimum atau sumber alam sekitar lain boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan manusia dan ekosistem.

“Penggunaan yang berlebihan berpotensi membawa kepada ketoksikan akut dan pelbagai penyakit neurodegenerative seperti Alzheimer serta gangguan keradangan,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini walaupun banyak rumah, pejabat atau restoran mempunyai peranti penapisan air, namun beberapa ion kuprum (II) masih dapat melepasi penapis, dan akhirnya air yang mengandungi kuprum yang tidak diketahui jumlahnya telah digunakan.

Dr. Janet berkata, inovasi Penapis Air Luaran dengan MANIK PINTAR itu dihasilkan menggunakan percetakan 3D dalam fabrikasi peranti mengaplikasikan penggunaan teknologi nano “Versatile Graphene”.

 

Katanya, 3DE yang diubahsuai untuk digabungkan dengan MANIK PINTAR dapat memberikan harga yang berpatutan serta mesra alam terhadap fabrikasi alat elektronik tanpa melibatkan pengumpul arus logam yang mahal seperti indium terdop tin oksida (ITO) dan substrat kaca florin terdop oksida (FTO), sekaligus mengurangkan kos dan masa pembuatan.

Beliau berkata, inovasi itu boleh diaplikasikan dalam rawatan dan pemulihan air, makanan dan minuman, farmaseutikal serta kosmetik.

Produk itu memenangi Anugerah Khas Kategori Produk Isi Rumah pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2019; Anugerah Usahawan Penyelidik Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2018; tempat pertama dalam Projek Penyelidikan Inovasi Nanoteknologi (PIN ’18); dan pingat perak pada Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi IPTS (PERINTIS 18). – UPM

Tarikh Input: 14/06/2019 | Kemaskini: 28/06/2019 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691254
03-89464121
B1566453382