Inovasi Mantapkan Mata Pelajaran BM | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Inovasi mantapkan mata pelajaran BM

Inovasi mantapkan mata pelajaran BM

SERDANG, 22 Mei – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menghasilkan inovasi Program Celik Bahasa Kebangsaan untuk memberikan pendedahan secara khusus berkaitan pengajaran dan penguasaan tatabahasa Melayu kepada guru mata pelajaran Bahasa Melayu.

 

Ketua penyelidik, Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam dari Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM berkata semasa Sidang Media Putracipta anjuran Putra Science Park UPM,  program itu disasarkan untuk memantapkan pengetahuan ilmu tatabahasa asas Bahasa Melayu di kalangan guru.

 

Langkah pertama yang diambil dengan menjalankan  Program Murid Cendekia Bahasa Kebangsaan yang bertujuan memantau tahap penguasaan dan kecemerlangan murid dalam Bahasa Melayu, mendapati pengetahuan tatabahasa di kalangan murid berada pada tahap minimum dan prestasi murid adalah membimbangkan. 

 

Dr. Vijayaletchumy berkata mereka juga menguji pengetahuan yang sama di kalangan guru dan keputusan menunjukkan bahawa tahap pengetahuan tatabahasa guru juga berada pada tahap yang minimum.

 

Beliau yang dibantu oleh penyelidik bersama Prof. Dr. Che Ibrahim Salleh, Sivaneswary Sivaratanam dan Thiviyah Manicam berkata dengan adanya Program Celik Bahasa Kebangsaan’ itu, guru dapat mengguna, menyebar dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu  kepada murid dengan lebih yakin dan efisien.

 

Program itu dijalankan dengan beberapa slot utama yang meliputi pra ujian, pasca ujian dan slot pengetahuan serta inovasi pengajaran. Setiap program juga  disertakan dengan beberapa slot pemantapan bahasa termasuk penguasaan tatabahasa, morfologi dan sintaksis.

 

Katanya, program itu disasarkan di kalangan guru dan murid sekolah menengah dan dan sekolah rendah seluruh negara  dan boleh mendapat pasaran dari luar negara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei yang mewajibkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan mereka.

 

Beliau berkata program itu bermanfaat kerana di Malaysia, mereka yang menduduki peperiksaan Siil Pelajaran Malaysia perlu lulus mata pelajaran Bahasa Melayu  untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik atau kemahiran.

 

“Dengan adanya program ini, akan dapat membantu meningkatkan pembelajaran bahasa Melayu yang lebih baik,” katanya.

Tarikh Input: 13/06/2017 | Kemaskini: 13/06/2017 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691254
03-89464121
B1566450909