Inovasi UPM Diiktiraf Par Excellence Di India | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Inovasi UPM Diiktiraf Par Excellence Di India

Inovasi UPM Diiktiraf Par Excellence Di India

SERDANG,  30 NOVEMBER 2021 – Inovasi pentadbir UPM cemerlang setelah dianugerahkan  Par Excellence Award di pertandingan quality circle antarabangsa 46th International Convention on Quality Control Circles – 2021 (ICQCC-2021) Hyderabad, Telangana India yang berlangsung secara dalam talian pada  24 hingga 27 November 2021.

 

ICQCC adalah anugerah berprestij di peringkat antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun disertai oleh kumpulan Team Excellence terbaik dari agensi kerajaan dan swasta setiap negara. Quality Circle Forum of India (QCFI) selaku penganjur kali ini menggunakan tema “Quality Concepts Facilitating Societal and Economic Turnaround yang bersesuaian dengan pandemik global terhadap masyarakat dan ekonomi setiap negara yang sedang berusaha untuk pulih daripada kesannya.  

 

Tema ini menunjukkan usaha berterusan yang perlu dilakukan untuk penambahbaikan dan inovasi kepada pengamal Konsep Kualiti di seluruh dunia walaupun dikala pandemik melanda dengan menyemarakkan minda ke arah penyelesaian inovatif dan membangunkan pelbagai kaedah penyelesaian dalam industri masing-masing.

 

Menurut Muhazam Mansor, Pendaftar UPM, UPM sememangnya giat menghasilkan R&D dan  inovasi dikalangan akademia mahupun pentadbir dan akan terus mengangkat inovasi ke peringkat lebih tinggi di persada antarabangsa bagi membuktikan kecemerlangan inovasi yang akan dapat membantu universiti, komuniti mahupun industri.

 

Pengiktirafan ini sekaligus membanggakan UPM dan Malaysia apabila ciptaan inovasi dari Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Langit Putra, Putra Science Park dan Kumpulan LEAN, The Budders Pusat Pertanian Putra telah menerima pengiktirafan bertaraf anugerah emas daripada juri daripada Korea Selatan dan India.

 

Inovasi Skyridder yang diketuai oleh Asrizam Esam, Kumpulan Langit Putra, merupakan alat pemotong dawai panjang pemegang tunggal yang dapat memotong pengikat bunting iklan atau dawai pada tiang lampu dengan pantas dan selamat tanpa penggunaan tangga. Alat ini turut mampu membantu menyingkirkan masalah pencemaran dawai karat dan iklan haram pada tiang lampu dengan cepat.

 

Alat inovasi Skyridder juga dapat mempercepatkan 80% masa kerja membuang dawai yang kebiasaannya ditinggalkan selepas bunting atau gegantung pengiklanan diturunkan. Dawai ini sekiranya ditinggalkan pada tiang lampu, akan mencemarkan pemandangan dan kebersihan persekitaran. Skyridder juga amat mudah digunakan berbanding alat import yang mahal dan lebih berat yang akan memberikan kesan tidak ergonomik sekiranya digunakan berulang-ulang kali.

 

Konsep mekanikal Skyridder yang unik dengan menggunakan tiang lampu itu sendiri sebagai daya penahan bagi membolehkan pemotong khas berfungsi memotong dawai berbanding kaedah sedia ada seperti wayar dan takal.

 

Dengan kelebihan Skyridder ini ia turut dapat memudahkan kerja-kerja pihak PBT mahupun komuniti membuang iklan iklan haram yang banyak tergantung tinggi pada tiang-tiang lampu. Kewujudan lambakan iklan haram ini sudah tentu akan mencacatkan pemandangan serta kebersihan kawasan persekitaran.

 

Menurut Asrizam, peluang menyertai konvensyen antarabangsa ini membolehkan peserta untuk mendapatkan lebih banyak idea inovatif melalui perkongsian kumpulan antarabangsa yang menyumbang kepada penjimatan kos dan peningkatkan kecekapan kerja daripada China, India, Korea Selatan dan lain -lain.

 

Manakala inovasi Putra Pro-Cut & Putra Fast-Snap yang diketuai oleh Rozaidi Yusof  Kumpulan The Budders pula merupakan alat kaedah pembiakan pokok secara markot(tut) dengan lebih efisien, meningkatkan produktiviti, dan menjimatkan kos pengeluaran serta dapat mengelakkan kecederaan.

 

Penyertaan dua kumpulan daripada UPM merupakan diantara 81 kumpulan Team Excellence yang terbaik di Malaysia yang diselaraskan oleh pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan bertujuan mengukuhkan budaya kreativiti dan inovasi di sesebuah organisasi.

Tarikh Input: 10/12/2021 | Kemaskini: 10/12/2021 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDdDAP~