KUALA LUMPUR, 24 April 2025 – Pameran makanan paling dinanti-nantikan tahun ini, My Food 2025, telah membuka tirainya dengan penuh gemilang di Kuala Lumpur Convention Centre. Acara pembukaan rasmi disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Sejurus selepas perasmian, Datuk Seri Isham meluangkan masa meninjau tapak pameran dan turut singgah ke reruai Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menampilkan pelbagai inovasi makanan di bawah koordinasi Putra Science Park. UPM tampil menyerlah sebagai antara institusi utama yang mengetengahkan konsep Slow Food di rantau ini — satu gerakan global yang menggalakkan penghasilan makanan secara lestari, berbudaya dan sihat.
Menjadi tumpuan utama pada hari pertama ialah demonstrasi masakan secara langsung oleh Prof. Dr. Shahrim Ab Karim dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM. Persembahan beliau yang menampilkan teknik kulinari berinspirasi warisan dengan bahan-bahan semulajadi dan tempatan telah menarik ratusan pengunjung yang kagum dengan gabungan inovasi dan keaslian dalam penyediaan makanan.
Pameran My Food 2025 akan berlangsung selama tiga hari, dari 24 hingga 26 April 2025, dan menghimpunkan pelbagai agensi serta pemain industri makanan dari seluruh negara. Acara ini menyediakan platform strategik untuk memperkenalkan produk, teknologi terkini dan membina rangkaian kerjasama antara penyelidik, usahawan serta pengguna.
Tarikh Input: 25/04/2025 | Kemaskini: 25/04/2025 | faizfarhan

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia