8 Julai 2024, Kuala Terengganu - Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Langit Putra dari Putra Science Park dan Pejabat TNCPI Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalankan Kempen kesedaran keselamatan di reruai pameran dan Penyerahan Alat Inovasi Skypatcher di Bahagian Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Menurut Asrizam Esam, Ketua Kumpulan projek khidmat komuniti masyarakat (CSR) ini dianjurkan adalah supaya kesedaran keselamatan di ruang pameran perlu dipertingkatkan dan hasil inovasi yang dihasilkan perlu memberikan pulangan dan manfaat kembali kepada komuniti dan masyarakat. Justeru itu, kempen kesedaran ini penting di dalam meningkatkan kesedaran dan tahap keselamatan pempamer terutamanya sewaktu persediaan pameran.
Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Langit Putra dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2021 telah berjaya mereka cipta inovasi yang dikenali sebagai Skypatcher iaitu alat untuk membantu memudahkan kerja memasang poster di reruai pameran standard shell scheme. Penggunaan harta intelek Skypatcher ini adalah bagi menyokong hasrat UPM yang komited tentang meningkatkan keselamatan pekerja di tempat pekerjaan di samping dapat meningkatkan keselamatan pempamer yang semakin meningkat dari segi penyertaan di dalam pameran inovasi mahupun pameran yang lain seperti pameran yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre, KL World Trade Centre, MITEC mahupun di pusat konvensyen pameran yang lain.

Menurut En. Wan Mohd Hafiz Wan Baharuddin, ketua penerangan program CSR ini, kesukaran menampal poster pameran pada panel reruai standard shell scheme (ketinggian 8 kaki) kebiasaan dihadapi oleh pempamer sewaktu persediaan pameran. Pempamer yang datang dari pelbagai agensi awam, swasta mahupun persendirian menghadapi situasi yang rumit dan berisiko mendatangkan kemalangan sewaktu kerja menampal poster.
Pasukan juga telah serta menyerahkan inovasi Skypatcher kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sebagai program khidmat komuniti untuk digunakan di JKN bagi memudahkan urusan pemasangan poster pameran.

Menurut Pn. Norul' Ashikin Abdullah, Pegawai Pendidikan Kesihatan Unit Pendidikan Kesihatan, pempamer JKN aktif di dalam menyertai pameran dan kempen kesedaran kesihatan yang banyak dilaksanakan oleh Unit Pendidikan Kesihatan di pelbagai peringkat terutamanya di negeri Terengganu. Unit Pendidikan Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu ditubuhkan pada tahun 1979. Unit ini berperanan dalam pengurusan program-program promosi kesihatan, latihan, khidmat konsultasi promosi kesihatan, penyelidikan dan penyebaran maklumat menerusi media massa.
Kempen yang dijalankan oleh KIK Langit Putra juga bertepatan dengan Pelan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2021-2025, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Pemberian alat Skypatcher ini dapat membantu kerja pemasangan poster dengan lebih pantas di lapangan dan memastikan mengurangkan risiko keselamatan pempamer.
Projek CSR telah dilaksanakan oleh pasukan KIK Langit Putra yang digerakkan oleh En. Asrizam Esam, En. Shahriman Hashim, En. Wan Mohd Hafiz Wan Baharuddin, En. Mohammad Hisham Omar, En. Muhammad Izzat Nor Adzmi, Cik Nor Azizah Ismail, dan Pn. Noor Fadilah Ayu Wichi.
Tarikh Input: 23/09/2024 | Kemaskini: 04/02/2025 | faizfarhan

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia