Peneroka FELDA Terima Inovasi “E-Cutter” UPM | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Peneroka FELDA terima Inovasi “E-Cutter” UPM

Peneroka FELDA terima Inovasi “E-Cutter” UPM

HULU SELANGOR, 20 Julai – Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, menyerahkan mesin E-Cutter kepada peneroka Felda Hulu Selangor pada Program Penyelidikan Translasional: E-Cutter Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Zon Hulu Selangor di Dewan Felda Sg Tengi Selatan.

E- Cutter merupakan inovasi mesin pencantas elektrik yang menggabungkan konsep pacuan kuasa elektrik dan mekanikal bagi menggerakkan pahat dan sabit pada galah komposit.

Pada majlis berkenaan, beliau menyerahkan 10 unit mesin itu bagi merealisasikan hasrat kementerian dalam pelaksanaan penyelidikan translasional. Secara keseluruhannya peneroka FELDA akan menerima mesin E-Cutter secara berperingkat untuk diguna pakai ketika menuai buah dan mencantas pelepah kelapa sawit.

Datuk Seri Idris berkata inovasi E-Cutter UPM mampu menyelesaikan masalah dan memudahkan kerja perladangan terutama dalam industri kelapa sawit.

“Inovasi ini mampu diterjemahkan demi manfaat rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan; Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Anuar Malek.

Penyelidik UPM dari Fakulti Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Norhisam Misron dan Pegawai Penyelidik MPOB, Abdul Razak Jelani mengambil masa lima tahun melakukan penyelidikan bagi menghasilkan E-Cutter.

“Ciri-cirinya yang kurang getaran dan mampu mencapai aras tuaian sehingga 30 meter merupakan faktor penting bagi menerokai dimensi baharu penuaian berteknologi pada masa akan datang,” kata Prof. Ir. Dr. Norhisam.

Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan 2017 sebagai tahun penyeldikan translasional untuk memastikan penyelidikan mampu menyelesaikan isu nasional dan antarabangsa. Program itu juga merupakan satu inisiatif kementerian untuk menggabungkan industri sawit negara. - UPM

Tarikh Input: 09/08/2017 | Kemaskini: 09/08/2017 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
C1571600410