SERDANG, 12 Mac 2025 – Program Pemerkasaan Syarikat Pemula InnoHub (PPSPI), sebuah inisiatif strategik oleh Seksyen InnoHub, Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia (UPM), telah bermula dengan penyertaan 17 projek dan syarikat pemula. Program ini bertujuan memperkukuh model perniagaan syarikat pemula berasaskan teknologi universiti bagi mempercepatkan proses pengkomersilan harta intelek universiti ke pasaran.
PPSPI akan berlangsung selama 16 minggu, menggabungkan sesi secara fizikal dan dalam talian. Program ini menampilkan Encik Ahmad Zakir Dato' Wira Jaafar sebagai panel industri utama, yang akan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam strategi perniagaan serta pembangunan syarikat pemula. Dengan bimbingan pakar industri, peserta program akan diberi pendedahan kepada kaedah validasi pasaran, strategi penjenamaan, serta pembangunan rangkaian bagi memastikan daya saing produk dan teknologi yang dihasilkan oleh syarikat pemula di bawah inisiatif InnoHub UPM.
Salah satu objektif utama PPSPI adalah untuk memastikan setiap projek dan syarikat pemula yang terlibat mempunyai model perniagaan yang kukuh dan mampan. Melalui sesi perkongsian dan bimbingan, peserta akan dibantu dalam aspek strategi pasaran, pengurusan kewangan, serta pendekatan kepada pelabur dan pelanggan sasaran.
Program ini dijangka memberi impak besar dalam mempercepatkan pengkomersilan teknologi UPM dan mewujudkan lebih banyak syarikat pemula yang berdaya maju di pasaran tempatan dan antarabangsa. PPSPI akan terus memainkan peranan penting dalam membimbing usahawan teknologi universiti ke arah pencapaian kejayaan yang lebih besar dalam dunia industri dan keusahawanan.
Untuk maklumat lanjut mengenai PPSPI dan inisiatif lain di bawah InnoHub, sila layari laman web rasmi Putra Science Park atau hubungi pihak Seksyen InnoHub UPM.
Tarikh Input: 14/03/2025 | Kemaskini: 14/03/2025 | faizfarhan

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia