11 Februari 2026 - Telah berlangsung Sesi Pembentangan Akhir bagi Anugerah Harta Intelek Negara 2026 (AHIN) anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang menghimpunkan organisasi terbaik negara dalam bidang pengurusan dan pemerkasaan harta intelek. Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya melangkah ke peringkat akhir di bawah Kategori Organisasi Terunggul Harta Intelek, sekali gus membuktikan komitmen berterusan PSP dalam memperkukuh ekosistem inovasi dan pengkomersilan di peringkat nasional.
Dalam sesi pembentangan tersebut, Putra Science Park telah diwakili oleh Pengarah PSP yang menyampaikan pembentangan komprehensif merangkumi strategi perlindungan harta intelek, pengurusan portfolio IP yang berkualiti, pemindahan teknologi, serta pencapaian pengkomersilan yang memberi impak kepada industri dan masyarakat. Pembentangan ini turut mengetengahkan pendekatan strategik PSP dalam membudayakan inovasi, memperkasa penyelidik serta memperluas jaringan kerjasama bersama rakan industri.
Pencapaian ke peringkat akhir AHIN 2026 ini menjadi satu pengiktirafan signifikan terhadap peranan PSP sebagai peneraju pengurusan harta intelek di institusi pengajian tinggi. Ia sekali gus memperkukuh reputasi UPM sebagai universiti yang komited dalam menjana nilai daripada penyelidikan melalui perlindungan dan pengkomersilan harta intelek secara mampan dan berimpak tinggi kepada negara.
Tarikh Input: 11/02/2026 |
Kemaskini: 11/02/2026 | faizfarhan
PERKONGSIAN MEDIA