Kuala Lumpur, 17 Julai 2025 – Qarbotech, sebuah syarikat pemula (startup) berasaskan teknologi hijau yang diasaskan oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), telah dinobatkan sebagai juara Startup World Cup West Malaysia Chapter 2025. Kejayaan ini sekali gus melayakkan Qarbotech mewakili Malaysia ke Grand Finale yang akan berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat, bagi merebut peluang pelaburan bernilai sehingga USD $1,000,000.
Pertandingan akhir Startup World Cup Malaysia yang berlangsung dengan penuh prestij telah disempurnakan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pemenang serta menyatakan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong pembangunan ekosistem inovasi dan startup negara.
Qarbotech merupakan antara syarikat pemula hasil program sokongan dan pembangunan startup Universiti Putra Malaysia melalui Putra Science Park (PSP) dan pelbagai inisiatif keusahawanan teknologi seperti Program InnoHub dan Geran Pemadanan Pengkomersilan MOSTI. Syarikat ini memfokuskan kepada teknologi biofotonik yang mampu meningkatkan kecekapan fotosintesis tumbuhan – satu penyelesaian mampan untuk sektor pertanian dan keselamatan makanan.
Startup World Cup merupakan platform global yang menghimpunkan syarikat pemula, pelabur dan pemimpin teknologi dari seluruh dunia. Edisi Malaysia tahun ini melibatkan lebih daripada 100 penyertaan, disokong oleh lebih 20 rakan strategik, termasuk Cradle sebagai penaja utama. Pertandingan ini adalah sebahagian daripada lebih 60 pertandingan serantau yang culminates dalam pentas akhir di Amerika Syarikat.
Kejayaan Qarbotech bukan sahaja membuktikan keupayaan inovasi tempatan, malah mengangkat nama UPM sebagai universiti penyelidikan yang berperanan aktif dalam melahirkan syarikat pemula berimpak tinggi di peringkat global.
Tarikh Input: 18/07/2025 |
Kemaskini: 18/07/2025 | faizfarhan
PERKONGSIAN MEDIA