FELDA SG TENGI, 20 Julai – Datuk P Kamalanathan A/L P. Panchanathan, Timbalan Menteri Pendidikan, menyerahkan Inovasi pengkomerilan UPM iaitu Kit Bijak Wang kepada11 buah sekolah sekitar FELDA Zon Hulu Selangor dan sumbangan bantuan pengajian kepada 10 anak-anak FELDA yang belajar di UPM.
Kit Bijak wang diserahkan bersempena Program Penyelidikan Translasional: E-Cutter Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Zon Hulu Selangor di Dewan Felda Sg Tengi Selatan.
Pada majlis berkenaan, beliau menyerahkan Kit Bijak Wang hasil penyelidikan Kumpulan yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Prof. Madya Dr Mohamad Fazli Sabri; pegawai perkhidmatan guru, Nurhayatul Nira Ramli dan Rozita Wahab, CEO Syarikat Innohub PSP-UPM.
Datuk P Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor berharap agar UPM menjadi universiti penyelidikan terbaik di Malaysia dan dunia yang dapat terus berkongsi inovasi teknologi kepada komuniti. “Diharapkan masyarakat dapat memanfaatkan inovasi yang diberikan dan secara tidak langsung dapat menjadi motivasi kepada anak-anak muda untuk belajar dan meningkatkan taraf kehidupan untuk mengubah sosio-ekonomi masyarakat katanya.
‘Smart Money Kit : Bright Kids Smart Money’ ialah satu set kit yang mengandungi 10 permainan interaktif sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan amalan pengurusan kewangan yang bijak dan berhemah.
Dr Mohamad Fazli berkata ‘Smart Money Kit’ diterjemah daripada produk asal Kit Bijak Wang : Anak Bijak Cerdik Duit, merupakan kit pendidikan kewangan yang pertama di Malaysia, digarap hasil daripada penyelidikan UPM sesuai dengan perkembangan kanak-kanak berusia enam hingga dua belas tahun.
“Ia mengandungi 10 permainan interaktif yang menyeronokkan di mana permainan disusun secara berperingkat supaya kanak-kanak dapat menguasai topik dengan baik mengikut minat, kemampuan dan kemahiran,” katanya.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Dato Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Anuar Malek.
Tarikh Input: 09/08/2017 | Kemaskini: 09/08/2017 | asrizam
Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia