Sidang Media Putra Cipta Pamer Probiotik Futuristik, Pengganti Sel Hidup Probiotik. | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Sidang Media Putra Cipta Pamer Probiotik Futuristik, Pengganti Sel Hidup Probiotik.

Sidang Media Putra Cipta Pamer Probiotik Futuristik, Pengganti Sel Hidup Probiotik.

Serdang, 5 Februari -  Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya mengkomersilkan teknologi suplemen kesihatan Probiotik Futuristik iaitu pengganti sel hidup probiotik melalui syarikat My Myracle Sdn. Bhd.

Kolaborasi pengkomersilan ini adalah hasil penjualan hak pemilikan dua paten UPM , Tumor Cytotoxic Agent and Methods Thereof (MY-158393-A) dan Probiotic Composition for Nutraceutical Product (MY-162183-A) kepada syarikat My Myracle Sdn Bhd. dengan nilai RM200,000.

Menurut ketua kumpulan penyelidik, Prof. Dr. Foo Hooi Ling dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Probiotik Futuristik adalah bahan metabolit campuran semulajadi yang dihasilkan melalui teknologi fermentasi terkawal oleh sel hidup probiotik yang dipencilkan daripada makanan tempatan Malaysia yang dapat memberikan kebaikan kesihatan usus yang konsisten.

“Bahan metabolit probiotik dikenali sebagai Postbiotik dan ia memberikan kesan kebaikan kesihatan yang konsisten berbanding dengan kesan kebaikan kesihatan sel hidup probiotik yang sering tidak stabil, tidak konsisten, kos pengeluaran tinggi dan jangka hayat yang pendek,” tambah beliau.

Pengarah Urusan My Myracle Sdn Bhd, En. Chin Kok Tian berkata, melalui teknologi ini syarikat telah berjaya menghasilkan beberapa produk Postbiotik yang telah memperoleh sijil Halal, Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Good Manufacturing Practice (GMP), status Bionexus serta produk tersebut berjaya didaftarkan di Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, hasil daripada kerjasama erat ini juga, penyelidik UPM dan My Myracle Sdn Bhd berjaya membina fasiliti lengkap seperti sistem bioreaktor dan “clean room” di kilang pembuatan postbiotik yang beroperasi di Selangor.

“My Myracle Sdn Bhd telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk membangunkan sebuah kilang fermentasi yang telah berjaya mempertingkatkan penghasilan produk Postbiotik kepada 3000 liter,” katanya lagi.

Produk Postbiotik berfungsi untuk memulihkan, menambahbaikkan dan mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus dengan menyokong pertumbuhan bakteria baik probiotik yang sedia ada dalam usus dan menindas pertumbuhan bakteria tidak baik atau patogen dalam usus manusia.

Keseimbangan mikrobiota usus amat penting untuk keadaan usus yang sihat bagi setiap individu. Kesihatan usus adalah amat penting dan berkait rapat serta mendorong kesihatan badan secara keseluruhan.

Tarikh Input: 23/02/2023 | Kemaskini: 23/02/2023 | aishah

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDdUAz~