Teknologi Nano Menyejukkan Suhu Bangunan | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Teknologi Nano Menyejukkan Suhu Bangunan

Teknologi Nano Menyejukkan Suhu Bangunan

Teknologi Nano Menyejukkan Suhu Bangunan

oleh Asrizam Esam


Kepesatan pembangunan di Malaysia amat tinggi terutamanya di kawasan bandar-bandar utama. Banyak bangunan moden seperti rumah dan pejabat dibangunkan dan mempunyai pelbagai rekaan yang terkini dan menarik. Namun peningkatan suhu persekitaran di Malaysia turut menyebabkan ketidakselesaan penghuni bangunan di mana suhu di dalam bangunan akan menjadi lebih tinggi daripada suhu di luar bangunan. Hal ini disumbang oleh pelbagai faktor seperti haba yang terhasil daripada peralatan elektrik, peralatan mekanikal mahupun  haba bahangan dan konduksi dari luar menerusi dinding atau bumbung bangunan.

Kos Meningkat

Suhu persekitaran yang semakin tinggi menyebabkan penggunaan penghawa udara dan kipas angin di kalangan masyarakat yang tinggi untuk mengurangkan kesan bahang panas ini. Faktor ini turut mengakibatkan peningkatan penggunaan elektrik di sesuatu bangunan.

Menurut Prof. Dr. Mohd Zobir Hussein (ITMA-UPM), sebahagian besar bangunan moden dibangunkan menggunakan teknologi bahan binaan ringan yang mempunyai jisim haba yang rendah. Ini menjadi punca utama suhu dalaman bangunan moden lebih cenderung untuk naik tanpa kawalan disebabkan oleh pemanasan suhu persekitaran. Bagi kepentingan umum, peningkatan penggunaan penghawa dingin sudah semestinya akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik, dan seterusnya meningkatkan kos sara hidup masyarakat.

Kini inovasi baharu telah dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik daripada Institut Teknologi Maju (ITMA) di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengatasi masalah ini. Inovasi Nano Pengkapsulan Bahan Berubah Fasa atau Nano Phase Change Material (Nano PCM) telah dibangunkan yang dapat membantu menyejukkan suhu bangunan dan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan penghawa dingin, sekaligus menjimatkan kos elektrik. 

Nano PCM


“Kaedah Nano PCM yang menggunakan teknologi nano yang pertama di Malaysia ini berfungsi menyerap, menyimpan dan menyingkirkan haba terma daripada persekitaran. Teknologi pengkapsulan ini telah dicipta bagi membolehkan bahan berubah fasa (PCM) di kapsulkan kepada saiz nano”, katanya lagi. Sifat ini membolehkan bahan berubah fasa (PCM) dapat menyimpan tenaga haba apabila ia mencair dan melepaskannya apabila ia membeku dengan lebih efektif lagi berbanding teknologi PCM sedia ada.

“Jika digunakan secara pasif atau aktif dalam bangunan, bahan ini mampu membantu mengawal turun naik suhu dalam bangunan seterusnya menghasilkan bangunan selesa-suhu. Ini akan mengurangkan kebergantungan penghuni bangunan terhadap sistem penghawa dingin (di Malaysia khususnya) atau alat pemanas (bagi negara beriklim sejuk), seterusnya mengurangkan penggunaan elektrik dan secara tidak langsung dapat mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida".

Nanocapsule PCM menyelesaikan masalah kebocoran cecair dan konduktiviti rendah bahan phase change material (PCM) sedia ada dipasaran yang mendapat permintaan tinggi sehingga mencecah USD1150 juta (tahun 2013) di pasaran global. Teknologi hijau ini akan dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dan kos penggunaan pendingin hawa yang tinggi disamping mesra alam sekitar.

“Pihak industri atau syarikat pengeluar bahan binaan boleh mencampurkan NPCM ke dalam simen atau cat untuknya berfungsi sebagai bahan penebat aktif yang boleh diaplikasikan pada siling dan dinding bangunan”, katanya pada sidang media sempena UPM Innovation Open Day di Serdang, Selangor.

Pelbagai Aplikasi

Kajian NPCM selama dua tahun ini telah dijalankan oleh Prof. Dr. Mohd Zobir Hussein selaku ketua penyelidik di Institut Teknologi Maju (ITMA), Universiti Putra Malaysia (UPM), bersama-sama Dr. Tumirah Khadiran, Prof. Dr. Zulkarnain Zainal dan Dr. Rafeadah Rusli. Teknologi ini telah sedia untuk dikomersilkan kepada pihak industri atau pengeluar bahan yang berminat.


Menariknya, Nano PCM juga boleh diaplikasikan kepada pelbagai jenis barangan lain seperti pembungkus makanan, industri pakaian, perubatan, elektronik, panel solar dan lain-lain.



Maklumat lanjut, hubungi Hafliza Husin [ Tel : 03 8947 1254 | hafliza_upm@upm.edu.my ] | Prof Dr. Mohd Zobir Hussein - Tel : +603 8946 8092 | mzobir@upm.edu.my ]

 


Nano PCM


Tarikh Input: | Kemaskini: | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXETBAx~