Terradeca Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemula (startup) berasaskan penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), telah melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai Johan Anugerah Inovasi Negeri Selangor bagi kategori Inovasi Pengajian Tinggi. Kejayaan ini amat bermakna kerana Terradeca berjaya menewaskan 364 penyertaan daripada pelbagai sektor termasuk sektor awam, swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah dan akar umbi.
Pencapaian ini menjadi bukti nyata bahawa hasil penyelidikan universiti mampu diterjemahkan menjadi inovasi berimpak tinggi yang bukan sahaja bermanfaat kepada masyarakat tetapi juga memperkukuh daya saing industri serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Prof. Madya Dr. Nur Kartinee Kassim bersama seluruh pasukan Terradeca Sdn. Bhd. atas dedikasi, ketekunan, dan komitmen yang telah membawa kepada pengiktirafan berprestij ini.
Inovasi yang dibangunkan oleh Terradeca bukan sekadar menyelesaikan cabaran semasa, malah berpotensi menjadi pemacu kepada transformasi industri serta meningkatkan kelestarian. Ia juga menonjolkan bagaimana kolaborasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti dapat membuka ruang baharu dalam pasaran domestik dan global.
Penghargaan istimewa turut diberikan kepada Prof. Dr. Ts. Suraya Binti Abdul Rashid, Pengarah Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) UPM, yang juga merupakan Pengasas Qarbotech. Beliau telah melancarkan Venture Builder Programme, sebuah inisiatif yang menjadi pemangkin kejayaan banyak syarikat pemula di bawah program InnoHub, termasuk Terradeca. Program ini telah membimbing penyelidik dan usahawan teknologi universiti untuk memperkukuh strategi komersialisasi, meningkatkan daya tahan perniagaan, dan seterusnya mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kejayaan Terradeca ini sekali lagi membuktikan keupayaan UPM melalui Putra Science Park dan InnoHub dalam menghubungkan penyelidikan dengan pasaran, serta melahirkan syarikat pemula yang berdaya saing global.

Tarikh Input: 27/08/2025 | Kemaskini: 27/08/2025 | faizfarhan

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia