
Serdang: Tiga penyelidikan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan produk yang memberi manfaat kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Tiga produk iaitu vaksin MyHatch UPM93, racun serangga Melado Milagro dan suplemen ikan Thohira dilihat mempunyai potensi besar dimanfaatkan secara meluas.
Pengarah Putra Science Park, Prof Dr Samsilah Roslan berkata, setakat ini, vaksin MyHatch UPM93 berjaya menembusi pasaran antarabangsa yang mana ia dikembangkan oleh penyelidik untuk melindungi ayam daripada penyakit sampar atau Newcastle Disease Virus (NDV).
"Vaksin sampar ayam yang dihasilkan oleh UPM sebelum ini, termasuk MyHatch UPM93 sudah dikomersialkan di lebih 20 negara di seluruh dunia. Ini termasuk di Asia, Timur Tengah dan Afrika yang melihatnya sebagai penyelesaian berkesan untuk mengawal penyebaran penyakit dalam industri penternakan ayam.
"Produk atau suplemen makanan akuakultur Thohira juga lama berada di pasaran dan berjaya menarik pelanggan yang ramai terutama penternak dalam industri akuakultur tempatan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, produk itu diformulasikan untuk meningkatkan pertumbuhan dan kesihatan ikan melalui penggunaan bahan semula jadi dan nutrien yang diperlukan dalam pemakanan ikan.
"Majoriti projek penyelidikan tertumpu kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan, selaras dengan peranan UPM sebagai universiti yang diamanahkan untuk menerajui bidang itu di peringkat kebangsaan.
"Sehingga kini secara kumulatifnya, jualan kasar hasil pengkomersilan inovasi yang dijalankan di UPM berjaya menyumbang lebih RM75 juta dalam tempoh setahun," katanya.
Samsilah berkata, jualan kasar itu menjadi tanda bahawa industri baharu yang berasaskan teknologi inovatif daripada UPM berkembang pesat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
"Keuntungan daripada pengkomersialan inovasi biasanya lebih banyak pergi kepada pihak industri berbanding universiti kerana matlamat universiti ialah menyokong industri agar dapat berterusan membesarkan dan mengembangkan perniagaan serta memberi impak sosio ekonomi secara langsung kepada negara.
"Diharapkan dengan impak sedemikian, ekonomi negara akan menjadi rancak, membolehkan peruntukan penyelidikan yang lebih banyak diberikan kepada universiti," katanya.

Menurutnya, UPM meletakkan sasaran pengkomersialan sekurang-kurangnya 15 inovasi baharu setiap tahun dan setakat ini sebanyak 247 inovasi berjaya dipindahkan kepada industri.
"UPM melalui Putra Science Park menawarkan pelbagai program dan bantuan bagi memastikan penyelidik terus menghasilkan inovasi berkualiti.
"Antaranya adalah Geran Pembangunan Pengkomersialan Produk dan Geran InnoHub yang bertujuan membantu penyelidik membawa inovasi mereka ke pasaran," katanya.
Beliau berkata, program itu diwujudkan untuk menggalakkan penyelidik mengkomersialkan hasil kajian mereka dan memastikan inovasi itu boleh dimanfaatkan secara meluas.
"Kejayaan itu bukan saja membuktikan kecemerlangan UPM dalam penyelidikan, malah menunjukkan kemampuan universiti untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti terkemuka dalam pengkomersialan inovasi demi manfaat masyarakat, industri dan negara," katanya.
Tarikh Input: 07/10/2024 |
Kemaskini: 07/10/2024 | faizfarhan
PERKONGSIAN MEDIA