UPM Dan Delegasi Sarawak Jalin Kerjasama Dalam Industri Akuakultur Dan Keterjaminan Makanan | PUTRA SCIENCE PARK sciencepark
» BERITA » UPM dan Delegasi Sarawak Jalin Kerjasama dalam Industri Akuakultur dan Keterjaminan Makanan

UPM dan Delegasi Sarawak Jalin Kerjasama dalam Industri Akuakultur dan Keterjaminan Makanan

SERDANG, 12 Februari – Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi pentadbiran Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (Industri Makanan) Sarawak, Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Haji Ismail.

Delegasi tersebut telah disambut oleh Pengarah Putra Science Park (PSP), UPM, Prof. Dr. Samsilah Roslan di Bangunan PSP, sebelum mengadakan perbincangan mengenai peluang kerjasama dalam aspek keterjaminan makanan serta pembangunan industri penternakan akuakultur. Lawatan diteruskan ke Stesen Penyelidikan Akuakultur UPM, di mana delegasi diberikan taklimat berkenaan operasi stesen serta aspek perlesenan bagi membawa benih Tilapia Putra Red UPM ke Sarawak.

Tilapia Putra Red, hasil penyelidikan Prof. Madya Dr. Yuzine Esa dari Fakulti Pertanian, UPM, memiliki kelebihan tersendiri, termasuk kadar pertumbuhan yang pantas, warna merah yang menarik, serta potensi pulangan tinggi berbanding baka biasa.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Timbalan Pengarah (Pemindahan Teknologi dan Pengkomersilan) PSP, Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), Gom Raway, Timbalan Pengurus Besar PPNS, Magerate Nanyang Senin, serta wakil dari Jabatan Pertanian Sarawak, iaitu Penolong Pengarah Bahagian Perikanan Darat, Haji Fakhruddin bin Haji, Pegawai Perikanan Seksyen Perikanan & Ternakan M-FICORD, Kirollina Kisun, dan Pegawai Perikanan Seksyen Dasar & Perancangan M-FICORD, Chin Han Kiat.

Turut serta dalam delegasi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rambungan Aqua Life Sdn Bhd, Sim Ing Jye, yang berminat dalam potensi pengkomersilan teknologi akuakultur UPM di Sarawak.

Tarikh Input: 12/02/2025 | Kemaskini: 12/02/2025 | faizfarhan

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691294
03-89464121
X, (07:39:37pm-07:44:37pm, 03 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]