UPM Hasilkan Inovasi Makanan Larva Ikan Dan Udang | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » UPM Hasilkan Inovasi Makanan Larva Ikan dan Udang

UPM Hasilkan Inovasi Makanan Larva Ikan dan Udang

Ditulis oleh: Nor Azizah Ismail
Putra Science Park, Universiti Putra Malaysia

SERDANG, 26 April – Perkembangan industri akuakultur sebagai sumber protein telah membawa kepada budaya intensif ikan dan udang. Sepanjang dua dekad yang lalu, ternakan larva secara intensif pelbagai spesies akuatik telah dibelanjakan untuk industri bernilai jutaan dolar.

Lazimnya, penternak menggunakan makanan hidup jenis Artemia yang diimport secara meluas bagi menggalakkan tumbesaran larva ikan dan udang dalam pengeluaran stok benih. Walau bagaimanapun, peningkatan permintaan Artemia di seluruh dunia menjadikan bekalan dan ketersediaannya terbatas di samping harganya yang semakin meningkat setiap tahun.

Bagi mengatasi masalah tersebut, kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), yang diketuai oleh Dr. Muhammad Fadhil Syukri dari Fakulti Pertanian telah membangunkan teknologi FS Feed iaitu makanan mikrodiet pengganti makanan hidup larva (anak) ikan dan udang yang pertama di Malaysia.

FS Feed merupakan makanan mikrodiet berkhasiat yang dihasilkan daripada 100% bahan organik bagi menggantikan makanan hidup seperti rotifer, artemia dan lain-lain untuk larva, benih atau anak ikan dan udang.

Menurut Dr. Fadhil, FS Feed adalah makanan yang mudah dan sesuai untuk pencernaan usus. Selain itu, keberkesanan makanan FS Feed juga lebih baik jika dibandingkan dengan makanan hidup seperti Artemia dari segi kadar kelangsungan hidup larva.

Penghasilan produk FS Feed adalah menggunakan minyak ikan dan protein sebagai bahan utama bagi menyokong pertumbuhan dan survival larva ikan dan udang di samping menjadi pengikat yang baik dalam makanan untuk meningkatkan kestabilan air serta mengelakkan pencemaran nutrisi.

“FS Feed sangat sesuai digunakan oleh penternak dan pembiak larva ikan dan udang kerana dapat mengurangkan kos makanan apabila menggunakan produk tempatan dan tidak memerlukan tenaga pekerja yang ramai untuk penjagaan makanan. Selain itu, teknologi FS Feed juga mampu menghasilkan pengeluaran sepanjang tahun dan dibekalkan terus kepada penternak,” tambah Dr. Fadhil.

FS Feed dihasilkan dalam warna oren yang bertindak untuk menarik perhatian ikan dan udang. Ia disyorkan kepada semua larva ikan air tawar, larva ikan marin, dan udang kerana ianya berjaya diuji pada ikan seperti ikan kap, ikan keli, ikan siakap, dan lain-lain.

Antara kelebihan FS Feed, ia boleh diberikan secara langsung tanpa memerlukan prakultur atau rawatan kerana saiznya dalam bentuk mikro amat sesuai untuk pelbagai saiz mulut ikan dan udang. Sebagai peringkat awal, ia memudahkan kandungan nutrisi dalam makanan mikro ini dihadam dan diserap oleh larva ikan dan udang.

FS Feed telah menerima pelbagai anugerah antaranya ialah pingat emas di International Conference and Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning PECIPTA (PECIPTA 2019) dan telah tercalon dalam senarai lima inovasi terbaik dalam Business Pitch Plan anjuran PECIPTA 2019 serta mendapat liputan sidang media anjuran Bernama TV dan akhbar Utusan Malaysia.

FS Feed merupakan inovasi yang dibangunkan sepenuhnya melalui dana penyelidikan pembangunan Innohub, dan dihasilkan oleh syarikat pemula di bawah InnoHub, Putra Science Park UPM dan membawa keluar makmal inovasi pertama yang menggalakkan usahawan untuk menghasilkan teknologi dan inovasi UPM yang menguntungkan di pasaran.

Menurut Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman, Timbalan Pengarah, Bahagian Promosi dan Pengkomersilan Inovasi, Putra Science Park, UPM amat mengalu-alukan kolaborasi daripada rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan ke pasaran supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan.

Tarikh Input: 11/05/2022 | Kemaskini: 29/09/2022 | aishah

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEbAAt~