UPM Menang Emas Anugerah Harta Intelek Negara 2018 (AHIN2018) | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » UPM Menang Emas Anugerah Harta Intelek Negara 2018 (AHIN2018)

UPM Menang Emas Anugerah Harta Intelek Negara 2018 (AHIN2018)

KUALA LUMPUR, 13 Sep – Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi di nobat selaku juara  dan memenangi pingat emas Anugerah Harta Intelek Negara 2018 (AHIN2018) kategori  organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) bagi tiga tahun berturut-turut.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris menerima anugerah daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Tun Abdul Razak,  Menara Kembar Bank Rakyat di sini.

UPM membawa pulang hadiah kemenangan RM30,000, piala pusingan, piala iringan serta sijil penghargaan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan piala Badan Harta Intelek Dunia (WIPO). Ini adalah kemenangan UPM kali ke-enam bagi kategori yang sama sejak tahun 2008.

Pengurusan harta intelek dan pengkomersilan UPM diterajui oleh Putra Science Park UPM, yang di urus selia di  bawah Bahagian Putra IP telah berjaya mengekalkan pengurusan terbaik dan memperkenalkan kaedah terkini di dalam mengeksploitasi harta intelek UPM. Pengkomersilan harta intelek melalui inisiatif program Innohub iaitu program pembangunan start-up company serta pelaksanaan program Edupark telah membawa dimensi baharu di dalam lanskap pengkomersilan harta intelek bagi universiti awam dan swasta di Malaysia.

Turut cemerlang, Prof. Dr.  Lai Oi Ming dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM juga berjaya meraih pingat emas bagi kategori Paten untuk inovasi Remdii Sensitive  yang mampu melegakan simptom ekzema dengan memenangi wang tunai RM10,000.00, piala dan sijil penyertaan. Teknologi ini juga telah dikomersilkan oleh syarikat start-up di bawah program Innohub PSP iaitu syarikat Lipidware Sdn Bhd yang diketuai oleh Dr Lai Wee Ting (CEO) dan Dr Nicholas Khong Mun Hoe.

AHIN 2018 yang diiktiraf World Intellectual Property Organisation di Geneva, Switzerland menerima 760 penyertaan dari seluruh negara untuk menggalakkan budaya kreativiti,  inovasi dan rekcipta dalam kalangan rakyat Malaysia.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, UPM Prof. Dr. Zulkifli Idrus, Ketua Program Pemerkasaan Perlindungan Harta Intelek, Putra Science Park, Dr. Zahira Mohd Ishan dan Ketua Program Penyelidikan dan Inovasi, Putra Science Park Dr. Mohammad Fakri Zaky Jaafar.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato' Dr. Aini Ideris berkata kejayaan UPM disumbangkan oleh pembangunan satu ekosistem pengkomersilan yang melibatkan pengurusan Harta Intelek bersistematik bermula dengan perlindungan harta intelek hingga ke peringkat pengkomersilannya yang diuruskan oleh Putra Science Park.

“Ekosistem ini membantu untuk memastikan teknologi UPM dapat dikomersilkan di samping mengasah bakat para graduan terpilih sebagai usahawan tekno melalui program Innohub.

“Sehingga kini, UPM telah berjaya menjana pendapatan pengkomersilan RM13.5 juta, jualan kasar 62jmemfailkan sebanyak 2623 harta intelek dan menghasilkan 59 syarikat permulaan (start-ups)," kata beliau.

Pada tahun lalu, UPM berjaya meraih kemenangan tiga tahun berturut-turut mengungguli Kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) dan merangkul Emas di Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2016 dan 2017.

Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) mula diperkenalkan pada tahun 2006 sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara anjuran MyIPO, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada perekacipta atau pencipta atas sumbangan harta intelek mereka dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.

Sebanyak tujuh kategori anugerah dipertandingkan iaitu Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), Paten, Cap Dangangan dan Petunjuk Geografi, Reka Bentuk Perindustrian, Hakcipta, dan Perekacipta Harta Intelek dan Perekacipta Muda Harta Intelek. - UPM

Tarikh Input: 03/10/2018 | Kemaskini: 03/10/2018 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDdFAX~