PUTRAJAYA, 7 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan satu lagi inovasi berimpak tinggi melalui pelancaran Carilab, sebuah platform e-dagang digital pertama seumpamanya di Malaysia yang menghubungkan penyedia perkhidmatan makmal dengan pengguna dari sektor akademik, penyelidikan dan industri secara terus, berpusat dan sistematik.
Dibangunkan oleh penyelidik UPM di bawah Putra Science Park (PSP), Dr. Nor Shafizah Ishak, Carilab merupakan sistem digital hak cipta UPM yang direka khusus untuk memadankan keperluan analisis bahan dan teknologi termaju dengan kapasiti makmal sedia ada di seluruh negara, sekali gus memperkasa pengurusan makmal secara lebih cekap, responsif dan profesional.
Dalam landskap perkhidmatan makmal yang masih banyak bergantung kepada proses manual dan tidak berpusat, Carilab tampil sebagai penyelesaian digital menyeluruh yang menawarkan pelbagai ciri pintar. Antaranya termasuklah tempahan perkhidmatan secara automatik dan tersusun, pemantauan status ujian secara masa nyata, dan akses kendiri oleh pengguna dari mana-mana lokasi. Platform ini juga membolehkan pengguna membuat pencarian makmal berdasarkan keperluan analisis tertentu, sekali gus menjimatkan masa, mengurangkan kesilapan komunikasi dan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan.
Selain itu, sistem padanan pintar yang dibangunkan dalam platform ini membantu mencadangkan makmal bersesuaian berdasarkan keperluan teknikal pengguna, menjadikannya lebih mesra pengguna dan bersifat responsif terhadap permintaan industri yang semakin kompleks. Carilab turut berperanan sebagai jambatan digital yang memperluas capaian kepada perkhidmatan makmal teknologi bahan dan nano, dan dalam masa yang sama menyokong usaha pengkomersialan inovasi penyelidikan tempatan ke pasaran yang lebih luas.
Platform Carilab dibangunkan sejajar dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Bahan Termaju Negara, yang menekankan keperluan kepada infrastruktur dan sistem sokongan menyeluruh bagi mempercepat pembangunan bahan berprestasi tinggi. Dalam konteks teknologi nano, Carilab menyumbang secara langsung kepada Pelan Hala Tuju Teknologi Produk Nano Negara dengan mempercepat proses padanan antara keperluan analisis bahan nano dan fasiliti makmal tempatan.
Melalui pendigitalan proses tempahan, rekod dan penjejakan data ujian, platform ini membantu mempercepatkan pembangunan teknologi dari peringkat penyelidikan ke pasaran, sekaligus menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi negara.
Carilab membolehkan penyelidik, pengusaha industri dan agensi kerajaan mendapatkan akses kepada perkhidmatan makmal saintifik secara lebih mudah, berpusat dan pantas. Dengan hanya beberapa klik, pengguna boleh mengenal pasti makmal yang menawarkan analisis yang diperlukan, menghantar tempahan perkhidmatan, menjejaki status kerja dan mengakses keputusan ujian secara terus dalam talian.
Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan luar negara dengan memperkukuh kapasiti makmal tempatan. Ia turut menyokong inovasi tempatan untuk berkembang secara lebih tersusun dan berskala, seiring dengan keperluan industri dan penyelidikan semasa.
Bagi memperkukuh impak inovasi ini, pemindahan teknologi dan pengkomersialan Carilab telah dimeterai melalui kerjasama strategik bersama Synchronetwork Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman luas dalam pembangunan sistem digital, laman web dan pemasaran berasaskan data.
Kolaborasi ini dijangka menjadi pemangkin kepada pemerkasaan transformasi digital dalam ekosistem makmal saintifik negara menerusi pendekatan yang lebih tangkas, cekap dan berskala.
Selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UPM 2021–2025, universiti komited untuk membina ekosistem lestari berasaskan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) yang menyeluruh. Carilab merupakan manifestasi iltizam UPM dalam menjana hasil penyelidikan yang bukan sahaja memberi sumbangan kepada pengetahuan, tetapi turut menghasilkan impak sosioekonomi yang mampan.
Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi negara, UPM kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi dan inovasi global melalui solusi digital seperti Carilab, yang menjembatani kolaborasi antara akademia, industri dan kerajaan.
Tarikh Input: 08/08/2025 |
Kemaskini: 08/08/2025 | faizfarhan
PERKONGSIAN MEDIA