KUALA LUMPUR, 19 Sept – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan Global Halal Summit (GHaS) 2025 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, menghimpunkan pemain industri, penyelidik dan agensi halal utama dunia. Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) turut menyerlahkan kepakarannya dengan menyertai Pameran Antarabangsa Halal (MIHAS), mempamerkan pelbagai hasil penyelidikan dan inovasi halal terkini.
Reruai UPM turut menerima kunjungan Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, yang meluangkan masa meninjau dan mendengar penerangan mengenai potensi penyelidikan halal universiti. Turut hadir bersama beliau ialah YBhg. Profesor Dr. Zamberi Sekawi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM; Prof. Dr. Awis Qurni Sazili, Pengarah IPPH; Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof, Timbalan Pengarah IPPH; serta Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman, Timbalan Pengarah (Pemindahan Teknologi & Pengkomersilan Inovasi) Putra Science Park UPM, yang berkongsi penerangan terkini mengenai produk makanan halal inovasi UPM.
Penglibatan UPM dalam MIHAS 2025 bukan sahaja menzahirkan keupayaan universiti sebagai peneraju penyelidikan halal, malah membuka peluang kerjasama strategik dengan industri dan agensi antarabangsa. UPM yakin, melalui kepakaran dan inovasi yang dibangunkan, ia mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global.
Tarikh Input: 20/09/2025 |
Kemaskini: 20/09/2025 | faizfarhan
PERKONGSIAN MEDIA