UPM Terima Anugerah Persembahan Terbaik KIK Universiti Awam 2019 | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » UPM Terima Anugerah Persembahan Terbaik KIK Universiti Awam 2019

UPM Terima Anugerah Persembahan Terbaik KIK Universiti Awam 2019

SERDANG, 10 Sept - Inovasi Kumpulan KIK Langit Putra UPM terima Anugerah Persembahan Terbaik kategori teknikal di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam kali ke 15 Tahun 2019 di UTeM Melaka pada 21 Ogos 2019 yang lalu.

Langit Putra selaku kumpulan tunggal mewakili UPM daripada Putra Science Park dan Pejabat TNCPI berjaya merangkul Anugerah Persembahan Terbaik untuk dua tahun berturut-turut di Konvensyen KIK Universiti Awam di Universiti Malaya pada tahun 2018. Kumpulan ini turut menerima penarafan anugerah Emas bagi projek yang telah dijalankan selama setahun bermula Julai 2018.

Anugerah  telah disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Teknikal Melaka (UTeM), YBhg Prof Dr Raha Abdul Rahim pada Majlis Anugerah & Penutup Konvensyen KIK UA di perkarangan Dewan Canselor UTeM.

Prof. Dr. Raha Abdul Rahim sewaktu ucapan sewaktu majlis anugerah KIK ke 15 tersebut berkata, konvensyen ini turut memberi aspirasi, ilmu, teknik dan idea-idea baharu yang lebih kreatif dan inovatif untuk kualiti perkhidmatan dan pengurusan yang lebih baik dalam orgasnisasi.

"Pelaksanaan KIK ini juga berjaya mewujudkan budaya kerja yang mantap, berinovasi, kreatif dan berpandangan jauh bagi meningkatkan kualiti kerja dan keberkesanan sistem penyampaian selari dengan aspirasi kepimpinan tertinggi negara.

Menurut Asrizam Esam, ketua kumpulan Langit Putra “Persembahan inovasi berasaskan suasana di dalam penerbangan adalah tema kumpulan yang unik, kreatif dan menjadi kunci utama kejayaan selain pembentangan yang kemas, jelas dan puitis hasil pembentangan ahli kumpulan”.

“Komitmen yang tinggi dari setiap ahli disamping kesibukkan tugasan hakiki menjadi kunci kejayaan di dalam menghasilkan projek inovasi Skyridder yang turut mendapat perhatian daripada pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya”, katanya lagi.

Kumpulan mempertaruhkan projek inovasi bagi mengatasi masalah kesukaran membuang dawai lama dan serpihan bunting pada tiang lampu dengan menghasilkan inovasi Skyridder dan Program Bebas Dawai lama  di sekitar kampus UPM. 

Inovasi Skyridder adalah alat pemotong dawai pemegang tunggal yang menggunakan teknik unik bagi memotong dawai lama pada aras yang tinggi dengan kos yang lebih murah, efektif, capaian lebih tinggi dan ringan berbanding alat impot yang jauh lebih mahal. Alat ini bersifat boleh laras yang memudahkan pengguna menggunakannya setiap kali kerja pembuangan dawai.

Alat ini bukan sahaja memastikan UPM bebas dari dawai karat yang ditinggalkan pada tiang lampu serta mencemarkan pemandangan,  malahan turut membantu Pihak Berkuasa Tempatan seperti MPSJ mahupun komuniti di dalam membanteras iklan-iklan haram. Inovasi ini turut dikongsikan kepada Komuniti KRT Taman Sinaran, Kajang Selangor untuk diujicuba penggunaannya oleh pihak komuniti.

Ahli kumpulan Langit Putra yang terdiri daripada Asrizam Esam, Norliyana Kamarudin, Hafliza Hussin, Norazlin Monir, Mohd Mas’ataillah Ismail, dan Mohammad Hisham Omar daripada PSP serta Mohd Izzat Nor Adzmi  dan Shahriman Hashim, dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPM yang juga fasilitator kumpulan ini.

Inovasi Skyridder juga telah mendapat perlindungan hakcipta (lukisan teknikal) dan di dalam usaha mencari rakan industri bagi tujuan pengkomersilan alat ini. Konvensyen KIK ini  adalah program tahunan utama yang dianjurkan oleh universiti awam di Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menjadi tuan rumah pada konvensyen akan datang.

Tarikh Input: 13/09/2019 | Kemaskini: 14/10/2019 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEVAA7~