UPM Terima Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » UPM Terima Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi

UPM Terima Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi

Ditulis oleh: Aishah Hisamuddin 

Serdang, 27 Januari - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima lawatan kerja daripada YBhg. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam rangka lawatan kerja ke universiti tempatan. Pertemuan tersebut disambut baik oleh seluruh warga Universiti Putra Malaysia selain memperkenalkan pelbagai inovasi dan teknologi hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia. 

 

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, YBhg. Prof Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan wakil pengurusan kanan universiti yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), YBhg. Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), YBhg. Prof Dr. Ir. B. T Hang Tuah Baharudin serta wakil pengurusan kanan universiti telah menyambut kedatangan delegasi Menteri Pendidikan ke universiti. 

 

 

Dalam sesi pertemuan itu, Putra Science Park selaku organisasi bertanggungjawab yang menguruskan harta intelek UPM mengambil kesempatan mempamerkan hasil penyelidikan warga universiti dari pelbagai sektor penyelidikan termasuk pertanian, kejuruteraan mesin, sains kesihatan, teknologi makanan dan pelbagai lagi. 

Tidak ketinggalan, sektor Edu-Park turut mempamerkan sektor edu-pelancongan yang menawarkan modul melancong sambil belajar yang dibangunkan khusus kepada segenap lapisan umur. Edu-Park merupakan salah satu seksyen yang bernaung di bawah Putra Science Park, menjana pulangan melalui pakej pembelajaran yang memfokuskan kepada 11 tempat pelancongan di sekitar kawasan universiti. 

 

Sesi lawatan itu menyaksikan pelbagai inovasi dipamerkan kepada YB Menteri antaranya inovasi Milagro Matado, semburan racun perosak yang mesra alam oleh Ts. Dr Norhayu Asib dari Fakulti Pertanian UPM, inovasi Cosmos Cuppa Tea oleh Dr Ahmad Haniff Jaafar dari Fakulti Sains Makanan yang membangunkan teh berasaskan ulam raja yang penuh khasiat dan mempunyai ciri-ciri anti-diabetes untuk membantu mengurangkan tahap glukosa darah serta meningkatkan kualiti hidup. 

 

Selain itu, pameran penyelidikan ini juga turut melibatkan penglibatan penyelidik seperti Prof Dr. Rafii yang membangunkan inovasi Padi U Putra, kualiti benih padi yang terbukti meningkatkan pendapatan petani melalui hasil tuaian yang tinggi dan mengurangkan kos pengeluaran racun kulat. 

 

Pameran ini juga disertai oleh penyelidik yang menerima dana geran validasi pasaran InnoHub, seksyen yang memfokuskan kepada pembangunan syarikat pemula UPM seperti inovasi Sari Rasa Paste yang diterajui oleh Dr Siti Nurhayati Khairatun dalam memperkenalkan pes berasaskan labu yang didatangkan dalam tiga varieti rasa merangkumi keju, pedas dan sos labu asli. 

 

Turut hadir pada sesi lawatan ini adalah YBhg. Prof Ir Dr Hj Kamarul Arifin Ahmad, Pengarah Putra Science Park, YBhg. Prof Dr. Rusmawati Said, Timbalan Pengarah Bahagian Harta Intelek dan Prof. Madya Dr. Wan Nurhayati Wan Ab Rahman, Timbalan Pengarah Seksyen Promosi dan Pengkomersilan Inovasi. 








Tarikh Input: 30/01/2023 | Kemaskini: 17/02/2023 | aishah

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEURAJ~