UPM - Universiti Ke 202 Terbaik Dunia | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » UPM - Universiti ke 202 Terbaik Dunia

UPM - Universiti ke 202 Terbaik Dunia

SERDANG, 7 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuhkan ranking ke-202 universiti terbaik dunia dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2018/2019 hari ini.

 

UPM membuat lonjakan 27 tangga berbanding kedudukan 229 pada tahun sebelumnya, iaitu kenaikan dalam tempoh lima tahun berturut-turut sejak ranking 2013.

 

Naib Canselornya, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata UPM berada pada kelompok 20 peratus universiti terbaik dunia daripada 1233 universiti yang dinilai oleh QS serta memperolehi skor tertinggi bagi indikator International Student, selain peningkatan skor dalam tiga indikator lain iaitu Academic Reputation, Employer Reputation, Faculty Students dan International Faculty.

 

“Apa yang menggembirakan UPM ialah kami berada pada landasan terbaik sasaran Pelan Strategik UPM 2014-2020 iaitu untuk meraih kedudukan 200 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.

 

“Peningkatan kualiti kurikulum dan kebolehpasaran pelajar boleh meningkatkan jaringan dan reputasi pelajar UPM dengan industri dan bakal majikan kerana ia dinilai dalam indikator Employer Reputation.

 

“Usaha UPM memperbaiki beberapa indikator akan digandakan seperti strategi meningkatkan jumlah pensyarah antarabangsa dan meningkatkan kualiti akademik dan pelajar,” katanya.

 

Prof Aini berkata UPM juga memperkukuhkan aspek fundamental terutama kualiti penyelidikan akedemik dan bilangan penerbitan dalam jurnal terkemuka dengan bilangan sitasi penerbitan (citations).

 

“Warga universiti tidak boleh leka dan perlu meningkatkan momentum prestasi untuk melestarikan kecemerlangan antarabangsa kerana saingan dalam industri pendidikan tinggi antarabangsa amat kompetitif,” katanya.

 

Beliau berkata selaras visi UPM untuk menjadi Universiti bereputasi antarabangsa, ranking QS membantu untuk menilai tahap visibiliti UPM terutama dalam aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi.

 

QS World University Rankings 2018/2019 membuat penilaian berdasarkan enam indikator iaitu Academic Reputation, Employer Reputation, Faculty Student, Citations per Faculty, International Faculty dan International Students.

Tarikh Input: 11/07/2018 | Kemaskini: 11/07/2018 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691254
03-89464121
B1566450236