Serdang: Bermula dengan mengesan kes pertama penyakit Gumboro yang menyerang ternakan ayam di Malaysia pada 1991, vaksin yang dihasilkan menerusi penyelidikan Prof Datuk Dr Mohd Hair Bejo berjaya dikomersialkan di lebih 20 negara.
Pegawai Eksekutif 1 Fakulti Perubatan Vaterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mengesan virus menyerang ayam terutamanya ayam muda yang boleh menyebabkan risiko kematian 100 peratus ternakan.
Beliau berkata, penyakit itu dikesan selepas melakukan bedah siasat terhadap ayam dan susulan itu memberi tumpuan penyelidikan terhadap penyakit yang menyerang ternakan itu di ladang.
"Bidang kepakaran saya ialah patologi vaterinar iaitu mengkaji penyakit dan saya secara aktif melakukan diagnosis penyakit kepada semua binatang.
Menurutnya, daripada kes itu dan kajian seterusnya, beliau berhasil mengeluarkan vaksin pertama pada tahun 2005 iaitu MyVac UPM93 bagi mencegah penyakit Gumboro.
"Kegunaannya sangat mudah serta amat berkesan kerana ia larut dalam air sekali gus lebih mudah diberikan kepada ternakan. Vaksin itu kita hasilkan daripada virus terasing hasil wabak yang berlaku di negara kita dan spesifik untuk penyakit itu.
"Selepas itu, kita keluarkan pula MyHatch UPM93 produk yang sama tetapi dengan penambahbaikan diberi kepada anak ayam berusia satu hari selepas menetas secara suntikan," katanya.

Mohd Hair berkata, sebagai penyelidik, pihaknya harus jelas mengenai penyelidikan dan setiap hasil penyelesaian masalah, mestilah memberi impak kepada masyarakat serta negara.
"Kalau dilihat daripada segi kebaikan, kita akan lihat jenis virus atau jangkitan yang berlaku di ladang. Vaksin itu tepat untuk virus yang sedang menular di ladang dan memberikan perlindungan yang terbaik.
"Tanda positif daripada pengguna kita boleh lihat mereka akan sentiasa membeli vaksin keluaran kami. Apabila satu ladang pakai dan menunjukkan kesan positif, maka ladang lain turut terikut menggunakan vaksin kami.
"Itu petunjuk bahawa vaksin dihasilkan adalah produk yang bagus. Bagi pihak kami, pengekalan kualiti vaksin itu adalah penting," katanya.
Beliau berkata, vaksin itu boleh mencegah satu penyakit saja iaitu Gumboro namun peratusan kematian ayam boleh dikurangkan ketika wabak teruk.
Mohd Hair berkata, pada tahun 2017 muncul strain baru tetapi tidak menyebabkan kematian yang tinggi tetapi vaksin sedia ada tidak mencukupi untuk memberi perlindungan sepenuhnya.
"Jadi, sekarang kami sedang membangunkan satu produk yang baharu. Kita akan sentiasa menambah baik mencari strain yang baru," katanya.
Tarikh Input: 08/10/2024 | Kemaskini: 08/10/2024 | faizfarhan

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia