Versmap Bantu Penternak Ganda Pengeluaran Sumber Makanan Alternatif Ternakan | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA »  Versmap bantu penternak ganda pengeluaran sumber makanan alternatif ternakan

 Versmap bantu penternak ganda pengeluaran sumber makanan alternatif ternakan

SERDANG – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan teknologi tanaman bertingkat mudah pasang yang mampu meningkatkan pengeluaran tumbuhan akuatik Azolla Pinnata sebagai sumber makanan alternatif ternakan yang dikenali sebagai Versmap.

 

Melalui teknologi tersebut, pengeluaran Azolla dapat ditingkatkan sehingga empat kali ganda iaitu sebanyak 900 kilogram dihasilkan sebulan bagi setiap sebuah Versmap dan mampu menampung bekalan makanan kepada 3000 ekor itik.

 

Versmap juga mampu untuk menjimatkan kos makanan ternakan sehingga 50 peratus selain mudah diselenggarakan.

 

Menurut ketua penyelidik teknologi ini, Prof. Madya Dr. Rosnah Shamsudin dari Fakulti Kejuruteraan, kaedah perusahan Azolla dengan cara membina kolam di atas tanah tidak mampu untuk menampung bekalan makanan bagi skala ternakan besar.

 

“Dengan kaedah sekarang, Azolla ditanam dengan cara menggunakan takungan air iaitu dengan membina kolam atas tanah, penternak hanya memperolehi 30 kilogram Azolla untuk setiap keluasan 10 meter per segi bagi tempoh sebulan iaitu hanya mencukupi untuk bekalan makanan bagi 200 ekor itik sahaja,” katanya.

 

Keluasan bagi sebuah Versmap setingkat meliputi 80 kaki per segi dan jika dibina sehingga empat tingkat, jumlah keluasannya akan menjadi 320 kaki per segi serta mampu mengelurakan hasil sehingga 150 kilogram hanya sekali tuaian.

 

Azolla boleh dituai sebanyak enam kali dalam sebulan. Jika sekali tuai terhasil sehingga 150 kilogram, maka keseluruhan tuaian boleh mencecah sehingga 900 kilogram sebulan bagi sebuah bangsal Versmap. Kesimpulannya, jika 1000 ekor itik memerlukan 320kg Azolla sebulan, maka untuk sebuah bangsal mampu membekal makanan untuk hampir 3000 ekor itik,” tambah beliau lagi.

 

Teknologi ini dibangunkan dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti kecukupan bekalan cahaya matahari, kadar pembajaan, mudah untuk dituai, tempat pengeringan dan kualiti serta standard besi yang dipakai.

 

Teknologi ini telah dan dilesenkan kepada Pinnata Niaga Resources Sdn. Bhd. dan telah pun dikomersialkan mensasarkan perusahaan industri agro seperti penternak, pembekal makanan ternakan dan agensi kerajaan serta swasta berkaitan.

 

Selain Dr. Rosnah, teknologi ini dibangunkan bersama Che Mohd Syafiq Che Ahmad, Dr. Mohd Zuhair Mohd Nor dan Prof. Madya Dr. Hasfalina Che Man serta disiapkan sepenuhnya di UPM pada tahun 2018.

 

Selain itu, ia turut memenangi beberapa anugerah antaranya pingat emas di International Engineering Invention & Innovation Exhibition (I-Envex), 2018 dan Johan KIK Peringkat Kebangsaan di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), 2018 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. – UPM

Tarikh Input: 05/09/2019 | Kemaskini: 14/10/2019 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDdBAQ~