Atasi Masalah Hiperpigmentasi Dan Jeragat | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Atasi Masalah Hiperpigmentasi Dan Jeragat

Atasi Masalah Hiperpigmentasi Dan Jeragat

Kajian dan penyelidikan saintifik yang teliti selama 15 tahun oleh pakar UPM telah menghasilkan serum OLeate yang dibangunkan menggunakan teknologi nanoemulsi terbukti berkesan bagi mengatasi kesan hiperpigmentasi dan jeragat.

Ketua Penyelidik dari Fakulti Sains dan Pusat Asasi Sains Pertanian, ChM. Dr. Siti Efliza Binti Ashari dan Prof. Dr. Rosfarizan Binti Mohamad dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul berkata, OLeate sebagai komponen utama dalam penghasilan serum ini merupakan bahan pencerah yang terbukti berkesan sebagai anti-tyrosinase, anti-mikrob, anti-radang dan anti-oksidan.

Beliau berkata, BioEsst Nanoemulsion Serum with OLeate menawarkan kelainan kepada pengguna berbanding produk kecantikan yang berada di pasaran dengan menfokuskan kepada kandungan bahan aktif yang terbukti selamat serta tidak meninggalkan keradangan di muka setelah penggunaanya.

Malaysia sebagai sebuah negara beriklim khatulistiwa, mengalami cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun sekali gus menyumbang kepada berlakunya kesan jeragat.

Ditambah pula dengan peningkatan hormon yang tidak seimbang serta penggunaan produk kimia yang bahaya turut menjadi faktor kepada penghasilan melanin kulit yang tidak sekata.

Serum kecantikan yang dirumus 100% bahan efektif Oleate terbukti berkesan setelah kajian saintifik yang teliti dijalankan telah menemui bahan aktif terbaik untuk mengatasi isu jeragat, tompok gelap, parut jerawat, dan kulit kering.

“Serum ini menggabungkan beberapa bahan aktif seperti tween 80, minyak kastor, minyak lemon, gum xantham, dan kalium sorbate ternyata berkesan dalam mengurangkan penghasilan melanin yang berlebihan,” jelasnya lagi.

Katanya, serum ini dihasilkan menggunakan teknologi nanoemulsi untuk menghasilkan kualiti serum yang mudah diserap ke dalam lapisan kulit bagi memberikan perlindungan serta-merta untuk melawan penghasilan melanin yang berlebihan.

Penghasilan BioEsst Nanoemulsion Skin Serum with OLeate sangat menitikberatkan isu keselamatan pengguna bagi memastikan kualiti serum yang dibangunkan adalah berimpak tinggi dan berkualiti.

ChM. Dr. Siti Efliza Binti Ashari berkata, penggunaan serum ini adalah secara dua kali titisan dan disapu ke seluruh muka. Serum ini digunakan sebagai terapi secara berterusan mampu menghasilkan kesan pencerahan yang dapat disedari oleh pengguna.

Tarikh Input: 23/02/2022 | Kemaskini: 22/03/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
WVJZGAk:06:48