Rumput Sambau: Rumpai Yang Mengganggu Atau Ubat Yang Tidak Ternilai? | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Rumput Sambau: Rumpai yang mengganggu atau ubat yang tidak ternilai?

Rumput Sambau: Rumpai yang mengganggu atau ubat yang tidak ternilai?

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

Rumput sambau (Eluesine indica) ialah rumpai yang memberi banyak masalah kepada industri sawit dan tanaman buah-buahan di Malaysia di mana rumput sambau disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 rumpai yang paling teruk di dunia kerana perlu bersaing dengan pokok kelapa sawit untuk mendapatkan cahaya, air, ruang dan juga nutrisi.

Jika pertumbuhan rumpai tidak dikawal, ini akan menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan makanan, biodiversiti, ekosistem dan seterusnya kepada kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Rumput ini juga mudah ditemui di kawasan pertanian seperti kebun sayur-sayuran, tanaman dan juga di tapak semaian kelapa sawit. Namun rumput ini merupakan rumpai biasa di sepanjang jalan dan turapan.

Di Malaysia, rata-rata dari anda sering melihat rumput  ini namun dengan pemandangan biasa di taman dan ladang. Selalunya ia akan diketepikan sebagai rumpai yang menjengkelkan tetapi tumbuhan sederhana ini sebenarnya mempunyai banyak potensi, lagi-lagi sebagai sumber makanan dan perubatan.

Rumput ini mungkin tidak begitu menarik dalam bidang penanaman namun kegunaan tradisional rumput sambau dan penyelidikan saintifik terkini memberi gambaran yang berbeza.

Perubatan Tradisional: Warisan Penyembuhan

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Dr. Keeren Sundara Rajoo berkata rumput sambau mempunyai sejarah penggunaan yang lama dalam amalan perubatan tradisional di seluruh dunia.

Di India, pucuk muda dimakan sebagai sumber makanan berkhasiat manakala akar dan bijinya itu akan dijadikan sebagai ubat tradisional untuk merawat pelbagai penyakit seperti asma, demam, dan jangkitan saluran kencing.

Di Malaysia, rumput sambau lazimnya tidak dimakan, tetapi khasiat perubatannya amat diiktiraf. Ia digunakan dalam perubatan tradisional Melayu untuk bersalin, melegakan kesakitan, dan gejala selesema. Ilmu tradisional ini menonjolkan potensi rumput sambau sebagai sumber perubatan semula jadi.

Walau bagaimanapun pada zaman sekarang, pengunaan ubatan alternatif mendapat permintaan meluas oleh pengamal tradisional di seluruh pelusuk dunia untuk mengurangkan kesakitan dan penyakit.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) Ts. Dr. Norazua Zakaria menyatakan tinjauan literatur mendedahkan bahawa rumput sambau juga digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti keradangan dan gangguan berkaitan imun

Menyingkap Kekuatan Rumput Sambau

Penyelidikan saintifik terkini mula menjelaskan sebab-sebab di sebalik kegunaan tradisional rumput sambau. Kajian telah menunjukkan bahawa tumbuhan itu kaya dengan pelbagai fitokimia yang bermanfaat, termasuk flavonoid, steroid, dan asid lemak.

Sebatian ini mempunyai sifat antioksidan, antimikrob dan anti-radang, yang berpotensi menjelaskan keberkesanan tumbuhan dalam merawat beberapa penyakit.

Para penyelidik mencadangkan kandungan flavonoid pada rumput sambau boleh membantu mengurangkan keradangan dan mengurangkan kesakitan bagi menyokong kegunaannya dalam perubatan tradisional. Rumput sambau juga mempunyai sifat antimikrob tumbuhan yang boleh merawat jangkitan saluran kencing.

Sementara itu, Dr Norazua menyatakan dapatan kajian sebelum ini menunjukkan potensi rumput sambau bagi mengatasi masalah kekurangan serat hijau lagi-lagi sewaktu musim kering yang melanda di Nepal.

Perubatan etnoterinar pula mendapati bahawa rumput ini telah digunakan bagi merawat demam pada ruminan (Pattanayak et al., 2017). Manakala dalam  kertas terbitan Makinano et al. (2020) telah melaporkan penggunaan daun tumbuhan dalam pengeluaran biskut.

Daripada kajian ini, ia menunjukkan bahawa warna, rasa, aroma, tekstur dan keboleh terimaan umum produk dipengaruhi secara signifikan oleh tahap serbuk daun.

Namun di Malaysia masih lagi tiada produk komersial yang berjaya dihasilkan dari rumput sambau. Oleh itu, sebagai pengguna anda perlu pastikan bahawa produk yang berasakan rumput sambau itu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Masa Depan untuk Rumput Sambau

Walaupun begitu lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami sepenuhnya dan memanfaatkan potensi rumput sambau. Rumpai sederhana ini boleh dikembangkan menjadi sumber makanan dan ubat semula jadi yang berharga. Bayangkan ladang rumput sambau bukan sebagai perosak yang tidak diingini, tetapi sebagai tanaman yang ditanam menyediakan makanan berkhasiat dan ubat semula jadi.

Rumput sambau adalah makanan super dan amalan penanaman, kaedah pemprosesan dan penilaian keselamatan memerlukan pertimbangan yang teliti. Walau bagaimanapun, ia bukan hanya memberi manfaat kepada kesihatan tetapi  ekonomi yang mampan.

Kadangkala khazanah yang paling berharga ini boleh didapati di tempat yang tidak dijangka. Oleh itu, mendalami pengetahuan tradisional dan penyelidikan saintifik boleh membuka potensi dan melakar laluan baharu masa depan rumput sambau.

Dalam peringkat kajian, kajian yang telah dilakukan telah menunjukkan tumbuhan ini mewakili sumber nutrisi yang kaya dan mengandungi fitokimia terapeutik, di mana rumput sambau selamat untuk penggunaan oral dalam had yang dibenarkan.

Kajian tentang rumput sambau perlu dieksploitasi dengan lebih lanjut terutamanya dalam mewujudkan ekstrak bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan sebelum dikomersialkan.

 

Tarikh Input: 01/02/2024 | Kemaskini: 01/02/2024 | wannuryani

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDEQAu~