Teknologi Sistem Pemantauan IOT Hutan Paya Gambut | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Teknologi Sistem Pemantauan IOT Hutan Paya Gambut

Teknologi Sistem Pemantauan IOT Hutan Paya Gambut

Paya Gambut merupakan khazanah alam yang penting kerana ekosistemnya terdiri daripada tanah, tumbuhan dan hidrologi yang menghasilkan pelbagai hasil hutan, selain berfungsi sebagai komponen penting mengelak berlakunya banjir dan menjadi sumber bekalan air ketika musim kemarau.

Negara kita sering mencatatkan bilangan pembakaran hutan yang merisaukan pada tahun 2011, diikuti tahun 2012 dan berikutnya pada 2014-2018 di mana kawasan paya gambut yang terjejas menyumbang kepada berlakunya banjir dan ketidakstabilan iklim di rantau ini.

Hal ini demikian kerana paya gambut bertindak sebagai span dalam mengawal kenaikan paras air yang mendadak dan menyerap air hujan untuk disimpan sebagai bekalan air untuk tujuan kesuburan tanah sekitarnya.

Hutan paya gambut yang terdiri daripada sisa daun dan tumbuhan rapuh yang mati dan berada di dalam takungan air menjadikannya mudah terbakar apabila tanah tersebut kering terutama ketika musim kemarau melanda.

Keadaan hutan paya gambut ini mampu menyebabkan berlakunya kebakaran yang marak dengan cepat sekali gus membebaskan jumlah karbon dioksida yang tinggi dan menyumbang kepada pencemaran alam yang lain.

Hutan Paya Gambut terkenal dengan keupayaanya menyerap karbon dioksida yang tinggi (C02) yang dilepaskan ke udara. Sekiranya berlaku pembakaran paya gambut, hal ini sangat merbahaya kerana perlepasan karbon dioksida yang banyak akan berlaku.

Justeru, peranan paya gambut adalah penting bagi menjaga kestabilan iklim dan mengelakkan berlakunya isu pemanasan global seperti jerebu dan penipisan lapisan ozon.

Kelembapan tanah paya gambut juga penting bagi ekologi sejagat kerana ia merupakan habitat bagi sumber flora dan fauna yang terancam seperti habitat ikan air tawar yang dikategorikan sebagai endemik seperti keli, haruan dan puyu serta tumbuhan periuk kera.

Bagi mengatasi masalah ini, sekumpulan penyelidik UPM, daripada Pusat Penyelidikan WiPNET dan INTROP dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Malaysia’s National Applied Research and Development Centre (MIMOS) dan National Institute of Communication Technology (NICT) komited dalam langkah memulihara kepentingan alam semula jadi paya gambut dengan menghasilkan sistem pemantauan, IoT- Based Peatland Monitoring Data Analytics.

 

Penyelidik
Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali
Fakulti Kejuruteraan UPM
aduwati@upm.edu.my

Tarikh Input: 23/02/2022 | Kemaskini: 17/05/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
WVJZFAn:05:29