Adaptive Wear Rangkul ‘Outstanding Innovation Awards’, Emas MTE 2021 | PUTRA SCIENCE PARK
» BERITA » Adaptive Wear Rangkul ‘Outstanding Innovation Awards’, Emas MTE 2021

Adaptive Wear Rangkul ‘Outstanding Innovation Awards’, Emas MTE 2021

SERDANG, 2 Nov –  Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkul Outstanding Innovation Awards dan Anugerah Emas di Malaysia Technology Expo (MTE 2021): Sustainable Development Goals (SDG) International Innovation Awards, baru-baru ini.

Kumpulan penyelidik yang diketuai Prof. Dr Nazlina Shaari dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), UPM memenangi anugerah itu melalui inovasi Adaptive Wear, inovasi pakaian kesihatan yang memfokuskan kepada pesakit warga emas dan orang kurang upaya.

Inovasi itu yang telah dipatenkan, mengetengahkan potongan pakaian yang direka khas untuk mereka memakai sendiri pakaian dengan lebih mudah, selesa dan sopan.

 

MTE 2021: Sustainable Development Goals (SDG) International Innovation Awards itu diadakan secara maya pada 25 hingga 29 Oktober lalu.

Prof. Dr Nazlina berkata inovasi Adaptive Wear itu berkonsepkan ‘Kami Prihatin’ (We Care Design).                                                           

“Produk pakaian yang dihasilkan ini terdapat dalam dua bentuk iaitu untuk warga emas yang lumpuh sepenuhnya (bedridden) dan untuk yang lumpuh separuh badan,” katanya.

 

Beliau berkata, setiap potongan pakaian direka bentuk mengikut spesifikasi keperluan pengguna, dengan bahagian yang sukar digerakkan diberi bukaan lengan atau bahagian badan yang lebih luas untuk memudahkan mereka memakainya.

Katanya, bagi warga emas yang lumpuh sepenuhnya, pakaian itu boleh dibuka luas dan dibentangkan di bawah badan pesakit.

“Ini memudahkan penjaga untuk menyarungkan pakaian itu kepada pesakit dan meminimumkan pergerakkan pesakit. Pakaian ini juga mempunyai ruang bagi penjaga meletakkan portable cold pack supaya pesakit lebih selesa dan bahagian badan tidak melecet akibat terlalu lama berbaring,” katanya.

 

Bagi warga emas yang lumpuh separuh badan pula, katanya, pesakit sendiri boleh menyarung pakaian itu tanpa menggerakkan bahagian yang lumpuh dan memudahkan penjaga mengendalikannya.

“Tujuan dua fungsi ini dicipta adalah untuk meminimumkan pergerakan pesakit dan memudahkan penjaga mereka menguruskan pemakaian baju sekiranya mereka tidak dapat bergerak sepenuhnya,” katanya.

Bahan utama yang digunakan bagi inovasi itu adalah kapas, fabrik buluh campuran dan fabrik nanoteknologi yang mempunyai ciri-ciri antibakteria dan nyahbau yang dapat memberi keselesaan kepada pengguna serta tidak merosakkan kulit pesakit.

Antara kelebihan inovasi Adaptive Wear ialah ia mengetengahkan konsep pakaian tradisional yang berinspirasikan ‘Kurung Kedah’ dan ‘Baju Melayu.’

Ia juga mempunyai bahagian yang direka khas untuk pesakit meletakkan beg urin dan terdapat bukaan pada hujung supaya tiub untuk mencuci dapat dibuka tanpa mengeluarkan beg urin berulang kali.

Inovasi itu dihasilkan menggunakan dana Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dan adalah produk inovasi di bawah syarikat pemula (start-up company) di bawah InnoHub, Putra Science Park UPM iaitu makmal inovasi pertama yang disasarkan untuk memupuk usahawan teknologi yang menterjemahkan teknologi dan inovasi UPM menjadi produk berdaya maju pasaran

Ahli lain dalam kumpulan penyelidikan penghasilan inovasi itu ialah Juliza Jamian, Dr. Rahimah Jamaluddin dan Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd Rahman. - UPM

Tarikh Input: 10/12/2021 | Kemaskini: 10/12/2021 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXDdDAf~