Sistem Teknologi Bio Paddle Mengesan Radiasi | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Sistem Teknologi Bio Paddle Mengesan Radiasi

Sistem Teknologi Bio Paddle Mengesan Radiasi

Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) mengambil satu langkah ke hadapan dalam membangunkan sistem dengan kaedah yang tepat dalam pemerolehan data yang berkesan. Sistem ini dapat membantu saintis untuk mengukuhkan lagi langkah-langkah pencegahan radiasi bagi tujuan keselamatan angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Menurut ahli pasukan penyelidik, Prof. Madya Dr. Noramaliza Mohd Noor berkata, radiasi yang terdapat di angkasa merupakan salah satu cabaran terbesar yang membahayakan angkasawan kerana waktu penerbangan yang panjang di angkasa menjadikan mereka terdedah kepada kepekatan tahap radiasi yang tinggi.  Tambah beliau, teknologi yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan, UPM ini, merupakan satu langkah proaktif bagi memastikan keselamatan angkasawan dipantau melalui pengesanan data yang tepat untuk mengurangkan pendedahan kepada radiasi.

Perlindungan radiasi memerlukan proses yang teliti untuk memastikan hasil pengesanan dapat digunakan sebagai data asas dengan memberi amaran kepada pakar keselamatan radiasi di stesen angkasa antarabangsa, katanya.

Menurut Dr. Noramaliza, krew ISS sering menghadapi risiko kerana terdedah kepada dos radiasi yang tinggi dari sumber yang tidak diketahui menjadikannya satu cabaran dan ancaman kerana ia akan menyumbang kepada penyakit seperti strok, penyakit arteri koronari dan tumorigenesis.

Berdasarkan kaedah perintis yang dijalankan untuk Program Angkasa JAXA, ciptaan yang telah diuji di kawasan sunspot dari modul KIBO mendapati bahawa, zarah besi berat dan radiasi adalah dominan sekali gus menyumbang kepada pentingnya penandaan data radiasi di kalangan krew ISS modul KIBO.

Dr. Noramaliza berkata, data yang diperolehi semasa penerbangan jarak jauh terbukti efektif dalam memberikan pendedahan dan digunakan sebagai rujukan asas merangsang data satelit untuk tindakan selanjutnya. Ia membantu dalam menentukan potensi radiasi berbahaya yang terdapat di modul KIBO.

Sistem ini terdiri daripada parameter masa secara automatik bagi proses simpanan data yang menganalisa kandungan zarah tenaga yang berbeza. Ia direka khusus untuk modul dosimetry kerana tahap sensitivitinya yang tinggi.

Teknologi ini memberi tumpuan dalam menyediakan kaedah mengesan radiasi yang tepat dan berkesan untuk berfungsi sebagai maklumat pangkalan data bagi saintis untuk membangunkan protokol dan garis panduan radiasi keselamatan di stesen angkasa.

Selain itu, sistem ini terbukti mempunyai tahap kepekaan radiasi yang tinggi dan menyimpan data bacaan radiasi yang tepat untuk dianalisis oleh saintis. Ciptaan yang dipatenkan ini memberi sumbangan penting dalam merangka reka bentuk modul KIBO yang baharu

 

Prof Dr Fathinul Fikri Ahmad Saad
Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear
Universiti Putra Malaysia
Emel:  fathinulfikri@upm.edu.my

Tarikh Input: 30/06/2022 | Kemaskini: 30/06/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
WVJZFA5:05:47