Racun Serangga Milagro Matado Bebas Bahan Kimia | PUTRA SCIENCE PARK
» NEWS » Racun serangga Milagro Matado bebas bahan kimia

Racun serangga Milagro Matado bebas bahan kimia

A view of the sea
Serdang: Racun serangga Milagro Matado yang dihasilkan menerusi penyelidikan pensyarah di Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nurhayu Asib tidak menggunakan bahan kimia malah dikenali sebagai racun alternatif iaitu biopestisid.

Beliau berkata, pembangunan produk racun serangga itu adalah kesinambungan hasil kajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

"Bidang kepakaran saya ialah toksikologi serangga dan proses penyelidikan berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya minta pelajar mengambil sampel serangga di Tanjung Karang. Kemudian, saya menjumpai syarikat tempatan yang kebetulan mencari racun biopestisid jadi kami berbincang dan mereka bersetuju melesenkan produk kami," katanya.

Nurhayu berkata, kesan racun itu sama saja seperti racun yang mempunyai bahan kimia.

"Racun itu boleh disembur ke atas tanaman semasa atau sebelum ada serangga. Kategori serangga yang dibasmi oleh racun itu ialah serangga penghisap daun seperti kutu daun, bena putih, afid dan kutu thrip.

 "Saya campurkan dua bahan aktif dalam racun serangga itu seperti pokok semambu atau Azadirachta indica. Disebabkan tindak balas agak perlahan, jadi saya tingkatkan keberkesanan dengan tambah satu lagi bahan aktif dalamnya. Apabila menggunakan produk hasil penyelidikan saya, kesan boleh disamakan dengan racun kimia," katanya.

Beliau berkata, sukar untuk memberi pendedahan kepada masyarakat kerana ramai mempersoalkan semburan racun itu apabila terkena makanan walaupun menggunakan racun biopestisid.

"Saya akan terbabit sama berkaitan dengan mempromosi produk untuk meyakinkan pengguna. Apabila ada ekspo, saya akan bagi ceramah. Dalam bidang pengkomersialan, kami akan menyediakan data-data keberkesanan untuk mengawal serangga perosak," katanya.

 Menurutnya, racun itu boleh digunakan untuk tanaman padi, sayur-sayuran dan tanaman di rumah.

"Selepas penggunaan racun serangga itu, ia dapat mengawal 90 hingga 100 peratus kerosakan serangan serangga tanaman.

"Untuk perancangan masa depan, saya melesenkan satu lagi produk di bawah UPM untuk mengawal serangga ulat bungkus di kelapa sawit. Saya juga sedang bergiat aktif menjalankan penyelidikan untuk produk lain termasuk kegunaan rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Halways Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pemula di bawah UPM, Dr Muhammad Akhmal Roslan berkata, produk atau suplemen Thohira dicipta khusus bagi ternakan dalam air (akuakultur) seperti ikan dan udang yang bertujuan menjaga kualiti air daripada menjadi busuk dan tercemar.

Beliau berkata, ia juga membantu mengurangkan toksin seperti amonia, nitrit dan nitrat di dalam air apabila ikan dilepaskan ke dalam sungai.

"Kebanyakan penternak akuakultur suka mengambil alternatif mudah untuk rawat ikan yang sakit dengan memberi antibiotik. Kita pun tahu ianya tidak selamat dan membahayakan ternakan malah antibiotik sudah diharamkan dalam industri ini," katanya.

Menurutnya, walaupun penggunaan antibiotik diharamkan, namun masih ada segelintir penternak yang menggunakannya secara tidak sah dan tidak mematuhi syarat ditetapkan Jabatan Veterinar.

Date of Input: 08/10/2024 | Updated: 08/10/2024 | faizfarhan

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
X, (06:40:28am-06:45:28am, 13 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]