Komposisi Pengawalan Serangan Makhluk Perosak | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Komposisi pengawalan serangan makhluk perosak

Komposisi pengawalan serangan makhluk perosak

Ulat bungkus memberi kesan kerosakan terhadap pertanian kelapa sawit, kutipan hasil yang rendah dan kerugian ekonomi yang besar. Metisa plana Walker (Lepidoptera: Psychidae) telah menjadi perosak utama kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia dan telah diisytiharkan sebagai penghancur daun tegar dalam industri pertanian kelapa sawit Malaysia (Norman & Basri 2007). Larva kecil berada di atas dan dibawah pelepah daun manakala larva yang matang berada di keseluruhan daun meninggalkan lubang-lubang kecil dan bintik-bintik perang. Lebihan dedaunan kering digunakan oleh ulat bungkus untuk membina beg kerucut untuk perlindungannya daripada musuh semula jadi. Wabak spesies ini sahaja boleh menyebabkan kehilangan tanaman hingga 44% (Basri & Norman, 2000). Pteroma pendula adalah salah satu daripada tiga spesies ulat bungkus yang merosakkan tanaman kelapa sawit Malaysia dan juga Indonesia (Perdana Rozziansha et al., 2011). Di Malaysia, spesies ini tertumpu di kawasan selatan Perak. Ulat bungkus yang bersifat polifagus ini telah disahkan setelah merosakkan sekurang-kurangnya 31 spesies tanaman termasuklah koko, kopi, akasia, albiza dan teh (Norman et al., 1994; Perdana Rozziansha et al., 2011). Langkah-langkah kawalan yang kerap digunakan untuk mengawal ulat bungkus ini ialah racun serangga sintetik.

 

Racun serangga kimia dari kumpulan organofosfat, karbamat dan pyrethroids telah disyorkan untuk mengawal ulat bungkus dikawasan kelapa sawit yang telah diserang (Norman et al. 2010). Racun serangga kimia seperti monocrotophos dan methamidophos digunakan melalui suntikan batang untuk mengawal serangan ulat bungkus. Walaubagaimanapun, kadar toksiknya yang tinggi menyebabkan penggunaannya disekat dan dilarang di beberapa buah negara. Penyembur racun serangga kimia seperti cypermethrin dan cyhalothrin juga digunakan untuk mengawal populasi ulat bungkus ini tetapi memerlukan tenaga kerja yang intensif untuk merangkumi ladang kelapa sawit yang berskala besar. Keprihatinan utama penggunaan racun serangga kimia adalah risiko ketahanan racun serangga perosak telah mengubah integrasi dengan kawalan lain untuk membangunkan Integrated Pest Management (IPM).

Di Malaysia, ulat bungkus di perladangan kelapa sawit ini memerlukan penyelesaian segera. Kerugian ekonomi akan terjejas sekiranya populasi ulat bungkus merebak secara berleluasa. Ia telah menyerang kelapa sawit sejak tahun-tahun awal ketika tanaman ini diperkenalkan di Malaysia. Strategi kawalan yang berkesan untuk ulat bungkus telah terbukti menggunakan racun serangga kimia. Untuk mengurangkan kerugian dari serangan ulat bungkus kawalan perosak jangka pendek dan panjang diperlukan. Alternatif menggunakan kulat entomopatogenik untuk mengawal ulat bungkus adalah kaedah yang baik dan tidak merbahaya bagi kumbang pendebunga kelapa sawit. Kulat entomopatogenik dapat bertahan hingga tiga bulan setelah melakukan penyemburan di ladang kelapa sawit.

Racun serangga perosak kami diformulasikan sebagai serbuk bancuh dari kulat entomopatogenik untuk mengawal ulat bungkus di ladang kelapa sawit.

Racun serangga perosak kami berdaya meningkatkan aktiviti perawis aktif. Kos rendah kerana tidak perlu menggunakan teknologi atau alat yang mahal. Formulasi yang memberikan penyebaran yang baik dan memberikan campuran yang sebati dalam larutan semburan.

Tujuan utama penemuan ini adalah untuk menyediakan racun serangga semula jadi yang mesra alam yang sesuai digunakan dalam pertanian seperti perladangan kelapa sawit. Tujuan lain adalah menyediakan racun serangga ulat bungkus semulajadi yang mudah terdegradasi dan tidak merbahaya bagi persekitaran dan organisma yang tidak disasarkan.

 

Penyelidik

Dr Norhayu binti Asib
Fakulti Pertanian
norhayuasib@upm.edu.my

Tarikh Input: 26/11/2020 | Kemaskini: 26/11/2020 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
WVJZGAl:06:30