ADAPTIVE WEAR BANTU GOLONGAN OKU | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTICLE » ADAPTIVE WEAR BANTU GOLONGAN OKU

ADAPTIVE WEAR BANTU GOLONGAN OKU

Menurut ketua penyelidik, Prof. Dr Nazlina Bt. Shaari dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, produk inovasi Adaptive Wear merupakan inovasi pakaian kesihatan yang memfokuskan kepada pesakit warga emas dan orang kurang upaya.

Inovasi ini mengetengahkan potongan pakaian yang direka khas untuk pesakit atau warga emas yang kurang upaya untuk memakai pakaian mereka sendiri dengan lebih mudah, selesa dan sopan.

“Berkonsepkan KAMI PRIHATIN (WE CARE DESIGN), terdapat dua jenis fungsi produk yang dihasilkan dalam inovasi produk pakaian ini iaitu pakaian bagi warga emas yang lumpuh sepenuhnya (bedridden) pakaian bagi warga emas yang mempunyai penyakit lumpuh separuh badan,” katanya.

Tambahnya, setiap potongan pakaian direka bentuk mengikut spesifikasi keperluan pengguna yang mana bahagian yang sukar digerakkan diberi bukaan lengan atau bahagian badan yang lebih luas supaya memudahkan mereka memakai pakaian.

Bagi warga emas yang lumpuh sepenuhnya, pakaian ini boleh dibuka luas dan dibentangkan di bawah badan pesakit. Ini dapat memudahkan penjaga untuk menyarungkan pakaian tersebut kepada pesakit dan meminimakan pergerakkan pesakit. Pakaian ini juga mempunyai ruang bagi penjaga meletakkan portable cold pack supaya pesakit lebih selesa dan tidak akan melecet pada bahagian badan akibat daripada berbaring terlalu lama.

Manakala, bagi pakaian bagi warga emas yang mempunyai penyakit lumpuh separuh badan pula, pesakit sendiri boleh menyarung pakaian tersebut tanpa menggerakkan bahagian yang lumpuh dan ia juga boleh memudahkan pihak penjaga mengendalikannya.

“Tujuan dua fungsi ini dicipta adalah supaya dapat meminimakan pergerakkan mereka dan memudahkan penjaga mereka untuk menguruskan pemakaian baju sekiranya mereka tidak dapat bergerak sepenuhnya.

Bahan utama yang digunakan bagi inovasi ini adalah kapas, fabrik buluh campuran dan fabrik nanoteknologi yang mempunyai ciri-ciri antibakteria dan nyahbau yang secara tidak langsung dapat memberi keselesaan kepada pengguna dan tidak merosakkan kulit pesakit.

Antara kelebihan inovasi Adaptive Wear ialah ia merupakan produk yang mengetengahkan konsep pakaian tradisional di mana konsep baju yang digunakan adalah berinspirasikan “Kurung Kedah” dan “Baju Melayu” serta mempunyai bahagian yang direka khas untuk pesakit meletakkan beg urin mereka dan terdapat bukaan pada hujung supaya tiub untuk mencuci dapat dibuka tanpa mengeluarkan beg urin berulang kali.

Ahli kumpulan yang terlibat dalam penghasilan inovasi ini ialah Juliza Bt Jamian, Dr. Rahimah Jamaluddin dan Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd Rahman. 

 

 

Pertanyaan lanjut, hubungi:

Prof. Madya Dr. Nazlina Bt. Shaari

Fakulti Rekabentuk dan Senibina

Universiti Putra Malaysia

Emel:  nazlinashaari@upm.edu.my

Date of Input: 24/12/2021 | Updated: 24/12/2021 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEZJA5~