Kesedaran Mendaftar Harta Intelek Semakin Meningkat - Berita Harian | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTICLE » Kesedaran mendaftar harta intelek semakin meningkat - Berita Harian

Kesedaran mendaftar harta intelek semakin meningkat - Berita Harian

 

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - Mei 9, 2023

KUALA LUMPUR: Kesedaran usahawan termasuk wanita serta industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai kepentingan harta intelek (IP) semakin meningkat.

Mengikut laporan sebanyak 46,812 IP didaftarkan pada 2021. IP adalah permulaan perniagaan berpacukan inovasi yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat dan negara selepas berjaya dikomersialkan.

Ia sama ada dalam bentuk paten, hak cipta, reka bentuk perindustrian, rahsia dagangan dan pelbagai lain penting dalam memastikan keunikan produk dan isu cetak rompak atau pelanggaran hak daripada pesaing.

Pegawai Penyelidik Kanan, Seksyen Promosi dan Pemasaran Inovasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Asrizam Esam, berkata perniagaan berpacu IP kini menjadi agenda utama supaya manfaat inovasi dapat dinikmati masyarakat dan negara.

Namun katanya, ia memerlukan ekosistem inovasi mantap bagi memacu hala tuju inovasi yang tepat dan berkesan bukan hanya di peringkat tempatan sahaja.

"Pembentukan ekosistem inovasi mapan yang ditunjangi oleh kerajaan, universiti atau agensi penyelidikan serta pemain industri perlu menjadi obligasi bagi memacu IP sebagai asas perniagaan yang dapat memberi impak tinggi kepada usahawan dan negara," katanya.

Malaysia juga boleh mencontohi Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) yang kini giat menjalankan pelbagai program bimbingan IP di seluruh dunia untuk membantu perniagaan yang diterajui usahawan wanita dalam melindungi dan memanfaatkan aset IP.

"Tujuan utama WIPO untuk memastikan pertumbuhan perniagaan wanita lebih baik dengan peluang pasaran lebih tinggi dan bersifat glokal," katanya.

Bagaimanapun, ketika ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat membangunkan pelbagai kemahiran membabitkan seramai 16,950 wanita melalui kursus keusahawanan dan bimbingan permulaan perniagaan melalui kolaborasi yang strategik.

Bantuan wanita dalam bidang keusahawanan

Katanya, inisiatif lain seperti Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui dana Malaysia Social Innovation bagi membangunkan inovasi tempatan dari akar umbi, komuniti dan usahawan B40 juga sebagai usaha berterusan yang dapat membantu memulakan langkah awal usahawan wanita Malaysia.

"Malah tahun ini, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyediakan peruntukkan bernilai RM2 juta untuk Dana Pemfailan IP.

"Oleh itu, usahawan wanita, perlu mengambil peluang ini berusaha mengembangkan idea perniagaan mereka," katanya.

Asrizam berkata, ketika ini ramai usahawan berjaya dalam perniagaan berteraskan IP dan dilihat tidak jauh ketinggalan.

Sebagai contoh kejayaan Prof Emeritus Datuk Dr Asma Ismail, penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempelopori pengkomersialan diagnostik pantas penyakit demam kepialu dipatenkan di lebih daripada 20 negara.

Penyelidik UPM, Prof Dr Lai Oi Ming, yang juga pengasas syarikat pemula Lipidware yang berjaya mengkomersialkan paten krim pelembap penghidap ekzema turut digunakan di China ketika pandemik COVID -19.

"Malaysia patut berbangga dengan usahawan wanita seperti Tan Hooi Ling, pengasas bersama aplikasi Grab yang menyediakan perkhidmatan e-hailing merentas Asia Tenggara.

"Begitu juga Pazdilah Enda Sulaiman usahawan telekung inovasi Siti Khadijah harus dijadikan ikon dan tokoh usahawan wanita yang menjadikan IP sebahagian episod kejayaan empayar mereka," katanya.

Mengulas mengenai Hari Harta Intelek Sedunia disambut 26 April setiap tahun anjuran WIPO dengan tema Wanita dan IP, ia seiring dengan perkembangan aspirasi negara dalam mempertingkatkan inovasi dan kreativiti.

Ia juga bagi meraikan pencipta wanita, usahawan dan profesional IP di seluruh dunia yang miliki pencapaian hebat.

Tema Wanita dan IP seiring dengan konsep Malaysia Madani yang menjadikan usahawan wanita lebih berkeyakinan dan meningkatkan kesejahteraan dari segi kekuatan ekonomi dengan menggunakan daya cipta baharu bagi memastikan kemampanan kelangsungan hidup yang semakin mencabar.

"Melihat senario ini, sambutan berkenaan amat bertepatan dengan pembudayaan keusahawanan inovasi yang lestari untuk memenuhi kehendak semasa memastikan kesejahteraan hidup dan ekonomi dunia," katanya

 

Date of Input: 18/05/2023 | Updated: 18/05/2023 | asrizam

MEDIA SHARING

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXEbAAw~