Malaysia perlu menyediakan sekurang-kurangnya 500,000 hektar tanah sawah padi bagi memastikan bekalan beras mencukupi, sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap beras import. Ketika ini, kawasan penanaman padi di Malaysia hanya meliputi sekitar 280,000 hingga 300,000 hektar, dan ini tidak mencukupi untuk mencapai tahap sara diri (SSL).
Profesor Agronomi Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Juraimi, menjelaskan bahawa kekurangan keluasan sawah padi yang berpecah kepada lot-lot kecil menyukarkan penggunaan teknologi moden seperti jentera besar. Hal ini turut memberi kesan negatif terhadap produktiviti hasil padi negara.
Menurut beliau, bagi memastikan sawah padi diusahakan secara efisien, Malaysia memerlukan kawasan penanaman yang luas dan berkelompok. "Kawasan seluas 500,000 hektar diperlukan untuk meningkatkan keupayaan mekanisasi dan pengurusan tanaman. Namun begitu, kebanyakan sawah padi di negara ini berada di kawasan kecil dan berselerak, yang menyukarkan proses mekanisasi," katanya.
Laporan terdahulu menyatakan bahawa kerajaan sedang memberikan tumpuan untuk membangunkan kawasan terbiar seluas 91,000 hektar di seluruh negara. Kawasan ini berpotensi untuk diubah menjadi sawah padi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, turut menekankan kepentingan memastikan produktiviti tanah sawah di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor dipertingkatkan. Kawasan jelapang padi yang memiliki sistem pengairan lengkap mampu menghasilkan sehingga lima tan padi sehektar. Bagaimanapun, kawasan luar jelapang hanya mampu menghasilkan sekitar dua hingga 2.5 tan sehektar kerana bergantung kepada hujan.
Dalam perbandingan dengan negara jiran, Malaysia sebenarnya memiliki produktiviti padi yang lebih tinggi iaitu 4.2 tan sehektar berbanding Thailand dan Vietnam, masing-masing menghasilkan sekitar 3.5 tan sehektar. Namun, Malaysia masih memerlukan peningkatan kawasan sawah untuk memenuhi keperluan domestik.
Jika tanah sawah padi seluas 500,000 hektar dapat disediakan, hasil pengeluaran beras negara boleh meningkat sehingga 80 peratus. Ini membolehkan negara mencapai tahap SSL sepenuhnya, sekaligus mengurangkan import beras. Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor juga menegaskan pentingnya memilih varieti padi seperti basmathi, jasmin, dan padi wangi yang semakin diminati rakyat.
Date of Input: 10/01/2025 | Updated: 10/01/2025 | faizfarhan

Office of the Deputy Vice Chancellor (Research and Innovation)
Universiti Putra Malaysia
43400 Serdang, Selangor, Malaysia