Kuasai Kata Berimbuhan Bahasa Melayu | PUTRA SCIENCE PARK
» ARTIKEL » Kuasai Kata Berimbuhan Bahasa Melayu

Kuasai Kata Berimbuhan Bahasa Melayu

Penyelidik dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan Kit Inovasi Kata Berimbuhan sebagai salah satu pendekatan dalam sediaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu yang menarik buat para guru dan murid.

Ketua penyelidik, Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam berkata, fokus utama penghasilan kit inovasi ini adalah untuk memastikan bahawa murid-murid dapat menguasai kosa kata berimbuhan melalui medium interaktif yang menarik minat dan perhatian mereka dengan mengetengahkan konsep belajar sambil bermain.

“Menggunakan Kit Inovasi Kata Berimbuhan, para guru dan murid disediakan dengan proses pembelajaran yang menggabungkan aktiviti bermain sambil belajar kata berimbuhan yang direka khas dengan menghimpunkan kepelbagaian teknik rangsangan merangkumi aspek visual, kinektik, pendengaran, dan percakapan untuk mengoptimumkan objektif PdP,” jelas beliau.

Beliau berkata lagi, proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik penting untuk memastikan bahawa input yang diberikan dapat diserap dengan mudah, sekali gus menggalakkan pemahaman yang lebih efektif.

Menariknya, inovasi ini didatangkan dengan bahan rangsangan berdasarkan bentuk dan jenis, juga disertakan dalam pelbagai tema, sesuai diikuti oleh setiap peringkat pembelajaran murid. Inovasi ini juga berfungsi sebagai alatan pengajaran bagi pendidik dalam memperkukuh proses pembelajaran serta mempelbagaikan teknik pengajaran, menyediakan soalan pemahaman dan disertakan sekali manual penggunaan yang mudah diikuti oleh warga pendidik.

Tambahan pula, aktiviti PdP yang lebih bermakna dapat diwujudkan kerana inovasi ini menitikberatkan kaedah pembelajaran kontekstual yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian murid untuk dihubungkan bersama keluarga, rakan, sekolah, masyarakat, dan negara. Hal ini sekali gus dapat menambah ilmu pengetahuan am murid.

Keupayaan murid dalam menghubungkan pengetahuan kata berimbuhan dengan kehidupan seharian menjadikannya suatu proses PdP yang lebih bermakna dan berkesan.

Inovasi ini memfokuskan empat elemen yang terdiri daripada kad permainan imbuhan, cari kata berimbuhan, tukar kod kepada kata berimbuhan dan uji minda kata berimbuhan.

Inovasi ini dibangunkan dengan memenuhi keperluan kerangka Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kaedah PdP berpusatkan murid (student-centred) menerusi elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta pengamalan nilai dan etika murni untuk membentuk sahsiah diri yang hebat

 

Tarikh Input: 23/02/2022 | Kemaskini: 23/02/2022 | asrizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUTRA SCIENCE PARK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97691849
03-89464121
SXETEAN~